Home Uncategorized PKPD dilaksana di Penjara Reman Pulau Pinang Khamis ini

PKPD dilaksana di Penjara Reman Pulau Pinang Khamis ini

0
PKPD dilaksana di Penjara Reman Pulau Pinang Khamis ini

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Penjara Reman Negeri Pulau Pinang dan Kuarters Penjara Reman Negeri Pulau Pinang daerah Timur Laut Pulau Pinang bermula Khamis ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan kluster di kawasan terbabit.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dikawal dan memudahkan ujian saringan Covid-19 dilaksanakan.

“Jumlah keseluruhan individu terlibat adalah seramai 2,830 orang merangkumi 2,306 banduan, 304 staf penjara dan keluarga yang mendiami kuarters serta 220 staf penjara dan keluarga yang tidak mendiami kuarters,” katanya pada sidang akhbar maya dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Susulan pelaksanaan PKPD, Ismail Sabri berkata, pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan namun pergerakan bagi staf penjara akan ditentukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Jabatan Penjara Malaysia.

Selain itu, mengulas mengenai bekalan makanan dan keperluan asas di kawasan terbabit, Ismail Sabri berkata ia akan disalur serta diselaraskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Timur Laut.

Mengenai tahanan yang akan dibebaskan dalam tempoh PKPD, beliau berkata mereka akan diasingkan daripada tahanan lain.

“Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, tahanan kemudiannya akan dikuarantin di tempat yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pulau Pinang sebelum dibebaskan.

“Tahanan yang positif akan dirawat di hospital sebagai orang awam selepas tarikh pembebasan mereka,” katanya.

Menyentuh pasukan petugas operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan sejumlah 446 individu kerana ingkar arahan PKPP semalam.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 407 individu telah dikompaun, 37 direman dan dua diikat jamin, yang melibatkan kesalahan antaranya tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri serta menjalankan aktiviti perjudian.

“Operasi Benteng pula menyaksikan sejumlah 84 pendatang dan tiga tekong ditahan semalam selain 10 kenderaan dirampas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here