Home Uncategorized Pengangkutan darat, laut dan udara dibenar beroperasi

Pengangkutan darat, laut dan udara dibenar beroperasi

0
Pengangkutan darat, laut dan udara dibenar beroperasi

PUTRAJAYA – Semua perkhidmatan pengangkutan darat, laut dan udara, kecuali kapal persiaran adalah dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, semua perkhidmatan pengangkutan awam perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pengguna pengangkutan awam yang perlu membuat perjalanan antara daerah, dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran pihak polis atau surat daripada majikan mereka, sebelum memulakan perjalanan tersebut,” katanya dan menambah yang perkara itu bagi memastikan perjalanan tersebut hanya berkaitan perkhidmatan perlu, termasuk untuk kecemasan dan sebab-sebab yang dibenarkan sahaja.

Mesyuarat khas MKN pada 12 Oktober memutuskan untuk melaksanakan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor selama 14 hari dari 14-27 Oktober, manakala Sabah dari 12-26 Oktober.

Berikutan itu, Ka Siong berkata, mesyuarat MKN hari ini telah menetapkan SOP berkaitan, termasuk yang melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam di sepanjang PKPB di kawasan terbabit.

Ka Siong berkata, PKPB kali ini pada asasnya membenarkan kesemua aktiviti ekonomi dan perindustrian untuk beroperasi seperti biasa, namun bergantung kepada SOP sedia ada.

“Pekerja yang bergerak dalam daerah yang sama, tidak perlu untuk menunjukkan pas kerja mereka atau surat majikan dan mereka yang hendak bergerak dari Selangor dan Kuala Lumpur ke negeri lain, dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada balai polis terdekat sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Ini termasuklah mereka yang bergerak menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz.

“Sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan fizikal semasa menggunakan pengangkutan awam atau ketika di stesen-stesen dan terminal-terminal. Usaha memerangi Covid-19 adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here