Home Uncategorized Mahkamah Syariah Selangor beroperasi seperti biasa

Mahkamah Syariah Selangor beroperasi seperti biasa

0
Mahkamah Syariah Selangor beroperasi seperti biasa

SHAH ALAM – Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) memaklumkan semua Mahkamah Syariah di Selangor akan beroperasi seperti biasa sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 14 hari yang bermula esok.

Unit Komunikasi Korporat JAKESS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa hanya pelanggan yang mempunyai urusan dibenarkan masuk ke dalam premis mahkamah dengan wajib memakai pelitup muka, mengimbas suhu badan dan kod QR ‘Langkah Masuk Dengan Selamat’ (SELangkah) di laluan masuk, menggunakan pensanitasi tangan dan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.

“Kanak-kanak (kecuali yang diperintahkan hadir oleh mahkamah), pelatih dalam kamar yang hadir bersama penyelia kerana mempunyai kes dan ahli keluarga atau teman yang mengiringi pelanggan untuk berurusan di mahkamah tidak dibenarkan masuk ke dalam premis mahkamah sepanjang PKPB berkuatkuasa.

“Bagi pelanggan yang telah diwakili peguam, kehadiran mereka semasa prosiding sebutan atau pengurusan kes adalah dikecualikan. Lafaz wakalah pelantikan peguam Syarie boleh dibuat secara dalam talian,” menurut kenyataan itu.

JAKESS turut menasihatkan pelanggan mahkamah yang mempunyai masalah kesihatan supaya menangguhkan hasrat untuk hadir ke premis berkenaan.

Pada masa sama, mana-mana pihak yang memerlukan dokumen sokongan melibatkan prosiding perbicaraan, sebutan, majlis Sulh dan Tahkim, mereka boleh memohon dengan menghubungi pendaftar mahkamah berkaitan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web JAKESS, www.jakess.gov.my. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here