Home Uncategorized Penduduk mukim Klang perlu surat majikan untuk keluar bekerja

Penduduk mukim Klang perlu surat majikan untuk keluar bekerja

0
Penduduk mukim Klang perlu surat majikan untuk keluar bekerja

SHAH ALAM – Penduduk yang tinggal di kawasan mukim Klang dan terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan daripada majikan masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkembangan ini disahkan menerusi kenyataan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berhubung perkara itu.

Amirudin berkata, penduduk dalam kawasan terlibat tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis sekiranya sudah mempunyai surat majikan.

“Penduduk dalam kawasan yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Mukim Klang tidak perlu surat kebenaran daripada polis jika sudah mempunyai surat daripada majikan.

“Ini berdasarkan kenyataan daripada Ketua Polis Selangor,” katanya menerusi kemas kini di laman Facebook, hari ini.

Rabu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor bermula hari ini susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Noor Azam berkata, mereka yang tidak mempunyai surat pengesahan bekerja oleh majikan atau pas pekerja boleh memuat turun borang menerusi laman Facebook ibu pejabat polis daerah berkaitan atau boleh memperolehnya di lokasi sekatan jalan raya kawasan terbabit.

“Orang ramai dinasihatkan agar dapat memastikan butiran pada borang berkenaan diisi dengan lengkap bagi mengelak kesesakan ketika mereka melalui sekatan jalan raya yang dijalankan pihak polis,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here