Home Uncategorized Mukim Klang lengang, penduduk sedia hadapi PKPB

Mukim Klang lengang, penduduk sedia hadapi PKPB

0
Mukim Klang lengang, penduduk sedia hadapi PKPB

KLANG – Suasana di sekitar kawasan yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang hari ini lengang berbanding hari kebiasaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa kedai sekitar Jalan Kebun, Sentosa dan beberapa kawasan lain di mukim Klang yang dikenakan PKPB bermula hari ini didapati tidak beroperasi.

Selain itu semua masjid, surau, sekolah, pusat jagaan kanak-kanak di mukim Klang turut ditutup sepenuhnya.

Sementara itu, rata-rata penduduk di kawasan terlibat bersedia menghadapi PKPB dan bersetuju arahan berkenaan dikuatkuasakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Penduduk, Zudy Mohd Bahrum, 30, berkata, pelaksanaan PKPB ini perlu memandangkan kes Covid-19 semakin meningkat di mukim Klang.

“Mungkin ada yang tidak mahu PKPB ini dilaksanakan, tapi bagi saya ia perlu memandangkan mukim Klang mencatatkan peningkatan kes Covid-19. Jadi untuk putuskan rantaian wabak ini, PKPB adalah langkah terbaik.

“Bagi saya tak ada yang susahnya, sebab masih lagi boleh bekerja cuma perlukan surat pengesahan majikan, jadi tak ada masalah,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Seorang penduduk, Nor Azwani Abu Bakar, 26, pula berkata, semua pihak diminta mematuhi arahan PKPB yang dikuatkuasakan bagi membantu memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Saya setuju dengan langkah diambil kerajaan ini memandangkan mukim Klang sudah menjadi zon merah, jadi apa lagi yang nak ditunggu.

“Dari segi barang keperluan harian, tiada masalah sebab saya dan suami dan beli siap-siap, jadi saya rasa cukup sepanjang tempoh PKPB ini,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Roy S Nyaneswaran, 40, berkata, terdapat kekeliruan mengenai arahan PKPB yang didakwa tidak diselaraskan dengan baik.

“Awalnya dimaklumkan PKPB ini memerlukan surat kebenaran pihak berkuasa, tapi ada yang kata hanya memerlukan surat daripada majikan.

“Jadi dalam soal ini, ramai yang keliru termasuk saya, jadi saya minta supaya pihak berkaitan perjelaskan semuanya dari segi tatacara dengan selengkapnya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa daerah di Sabah iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran termasuk Klang, Selangor dikenakan PKPB berkuat kuasa pada hari ini.

Tindakan itu susulan daerah Klang mempunyai lebih 40 kes positif Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semalam memaklumkan sebanyak 36 lokasi dalam mukim Klang membabitkan Klang Selatan dan Klang Utara terlibat pelaksanaan PKPB yang berkuat kuasa hari ini sehingga 23 Oktober depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here