Home Uncategorized Malaysia perlukan kepimpinan Anwar

Malaysia perlukan kepimpinan Anwar

0
Malaysia perlukan kepimpinan Anwar

SHAH ALAM – Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berpendapat persoalan atau konotasi kononnya Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin menjadi Perdana Menteri tidak perlu dibangkitkan.

Katanya, Malaysia pada masa ini memerlukan kepimpinan beliau apatah lagi dalam keadaan negara sedang berdepan penularan wabak Covid-19 yang memberi impak kepada keselamatan kesihatan rakyat dan ekonomi.

“Bagi anak muda yang mungkin mengenali Anwar mengetahui beliau berjuang daripada zaman kampus sehingga pentadbiran negara suatu masa dahulu.

“Saya fikir tidak perlu lagi kita bahaskan kenapa ada konotasi kononnya Anwar nak sangat menjadi Perdana Menteri. Pada saya, Malaysia memerlukan kepimpinan beliau pada masa ini,” katanya pada Program Wacana Sinar Harian Siri Ke-200 bertajuk Antara Kepimpinan Muhyiddin Atau Cita-Cita Anwar yang berlangsung di Dewan Karangkraf.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar menghadap Agong Selasa ini

Beliau berkata, merujuk kepada isu atau krisis pertukaran kerajaan di Perak, mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa dengan menunjukkan sokongan menerusi akuan sumpah (SD), ia sudah cukup untuk melaksanakan pertukaran kepimpinan dalam negara.

Menurutnya, agenda yang akan diangkat oleh Anwar apabila menjadi Perdana Menteri ialah menangani kemiskinan, ekonomi inklusif dan keluhuran undang-undang.

“Ini merupakan pegangan beliau sejak 1999 lagi. Apa yang diperjuangkan oleh PKR yang diasaskan oleh Anwar sejak dahulu.

“Kita memerlukan kepimpinan yang mempunyai arah tuju dan tidak takut untuk berdepan dengan media. Rakyat bencikan Perdana Menteri yang tidak sensitif kepada rakyat. Kita mesti segerakan kepimpinan yang kita telah sepakat sejak awal dan terus melaksanakan agenda yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here