Home Uncategorized Kerajaan Sabah tangguhkan aktiviti perdagangan tukar barang

Kerajaan Sabah tangguhkan aktiviti perdagangan tukar barang

0
Kerajaan Sabah tangguhkan aktiviti perdagangan tukar barang

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah akan menangguhkan semua aktiviti perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ bermula Isnin depan dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 juta dalam bentuk bantuan makanan di setiap daerah yang dikategorikan zon merah.

Langkah itu diambil bagi membendung penularan wabak Koronavirus (Covid-19) yang mengalami peningkatan di negeri ini dan seterusnya membantu penduduk yang terjejas akibat wabak itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, kerajaan mengambil perhatian serius terhadap peningkatan bilangan kes positif Covid-19 di negeri ini.

Katanya, sehingga hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan bilangan kes positif Covid-19 di Sabah masih dalam lingkungan tiga angka dan telah mencatatkan peningkatan kes positif COVID-19 sebanyak 1,728 kes dalam tempoh sembilan hari sejak 1 Oktober lalu.

“Sehubungan itu, Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan makanan dengan peruntukan RM2 juta untuk setiap daerah di kawasan zon merah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.

“Kerajaan negeri juga bersetuju supaya semua operasi atau aktiviti barter trade di Sabah ditangguh mulai 12 Oktober ini sebagai langkah membendung penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di enam daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan zon merah memberi kesan besar dan menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan terlibat.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengisytiharkan Sandakan, Tuaran dan Papar sebagai kawasan zon merah dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di daerah itu mulai hari ini sehingga 22 Oktober depan.

“Ini menjadikan sepuluh daerah di Sabah adalah sebagai kawasan zon merah iaitu Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Sandakan, Tuaran dan Papar,” katanya.

Hajiji dalam pada itu berkata, bagi membendung penularan jangkitan Covid-19, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah Covid-19 bersetuju supaya tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilanjutkan di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan di Tawau sehingga 25 Oktober ini.

“PKPD juga dilaksanakan di beberapa kampung di Semporna iaitu Kampung Pinggir Bakau, Kampung Simunul, Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Pangkalan, Kampung Bagiang dan Kampung Kunak 3 di Kunak,” katanya.

Terdahulu, Hajiji turut berkata, agihan bantuan makanan yang disalurkan nanti akan dibantu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), JKNS dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Aman Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here