Home Uncategorized Kenyataan Anwar anggap kerajaan PN jatuh tidak tepat

Kenyataan Anwar anggap kerajaan PN jatuh tidak tepat

0
Kenyataan Anwar anggap kerajaan PN jatuh tidak tepat

SHAH ALAM – Kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah jatuh selepas beliau mendakwa memiliki sokongan majoriti kukuh disifatkan sebagai tidak tepat.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, dari segi perundangan kenyataan itu tidak tepat kerana sesuatu kerajaan jatuh atau terbubar Kabinet jemaah menterinya ialah apabila diputuskan dalam konteks Perlembagaan di mana Perdana Menteri sendiri mengaku hilang kepercayaan majoriti.

Beliau berkata, namun pernah berlaku juga sebelum ini di mana telah dibuktikan melalui keadaan luar biasa bahawa Perdana Menteri hilang kepercayaan dan ia sepatutnya berlaku dalam rujukan kepada Raja Berperlembagaan.

“Maknanya dalam konteks ini perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong kerana Peruntukan Perkara 43 dalam fasal 4.

“Sekiranya ada terisi jawatan Perdana Menteri maka beliau perlu diberi hak menghadap Seri Paduka Baginda sebelum diumumkan kerajaannya jatuh,” katanya ketika Wacana Sinar ke-201 bertajuk Kesan Gerak Politik Anwar Kepada Kerajaan Muhyiddin yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini, semalam.

Turut menjadi panelis, penganalisis politik, Dr Anuar Shah Bali Mahomed dan Herleena Pahlavy selaku moderator.

Shamrahayu berkata, jelas pernyataan Anwar itu tidak tepat mengikut Perlembagaan dan amalan semasa dalam keadaan luar biasa apabila ahli-ahli Dewan Rakyat tidak lagi menyokong Perdana Menteri.

Sementara itu dalam perkembangan lain, ketika mengulas berhubung pelaksanaan darurat bagi menangguhkan pilihan raya termasuk PRK Batu Sapi serta Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam tempoh pandemik koronavirus (Covid-19), Shamrahayu berkata, beliau tidak melihat terdapat keperluan ke arah tersebut.

Menurutnya, walaupun darurat dilihat sebagai jalan keluar tetapi jika dilaksanakan ia boleh membawa implikasi yang sangat besar kerana melibatkan kesan ke atas ekonomi serta persepsi dunia kepada negara.

“Mengikut peruntukan 150 jika kedudukan ekonomi, keselamatan negara terancam dan jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati keadaan ini berlaku, boleh isytihar darurat.

“Tetapi buat masa ini, bukan tak boleh (laksana darurat) tapi keadaan belum sampai ke tahap perlukan pengisytiharan darurat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here