KUALA LUMPUR – Baru-baru ini tular kisah seorang lelaki yang dikatakan terpaksa berbohong kepada isterinya yang beliau keluar bekerja sedangkan realitinya, sudah tiga bulan beliau diberhentikan kerja sewaktu tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kisah lelaki itu menjadi buah mulut warga net selepas beliau menghubungi stesen radio tempatan dan menceritakan bagaimana dia berpura-pura keluar rumah dengan pakaian kerja lengkap setiap hari seperti biasa. Apa yang isterinya tidak tahu, dia turut membawa baju ‘spare’.
Lelaki itu yang diberhentikan kerja tanpa notis berikutan pandemik Covid-19 dan kini melakukan kerja-kerja biasa bagi menampung perbelanjaan harian, turut berkongsi bahawa sebagai ketua keluarga, amat sukar untuk dirinya berterus-terang dengan isterinya, selain dihimpit rasa serba salah dan tidak sampai hati.
Itu hanyalah secebis daripada banyak lagi kisah perjalanan penuh ‘onak dan duri’ yang perlu dilalui oleh ramai insan, susulan krisis pandemik Covid-19 yang bukan sahaja melanda Malaysia bahkan seluruh dunia.
Sama ada kita ambil peduli atau tidak, tidak boleh dinafikan apa yang berlaku ini sememangnya menyentuh hati ramai pihak malah ada yang cuba membayangkan seandainya situasi itu berlaku kepada diri masing-masing.
Ditambah pula jika ramai tanggungan yang perlu diberi makan, minum dan pakai. Bagaimana agaknya mereka dapat menempuh penderitaan hidup itu?
Media sebelum ini turut melaporkan seorang bekas juruterbang maut selepas bertindak terjun dari unit kondominiumnya di Puchong, Selangor, akibat tekanan kerana hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
Tekanan kehilangan pekerjaan ini juga melanda seorang tukang masak di Taman Berjaya, Simpang Renggam, Johor, yang membunuh diri dengan menggantung dirinya akibat diberhentikan kerja.
Laporan-laporan sebegini bukanlah bertujuan menakut-nakutkan mana-mana pihak, namun inilah antara kisah benar yang berlaku dan akan menghantui kita, sekiranya pandemik Covid-19 ini tidak dapat ditangani sebaiknya mungkin.
Memandangkan negara kini berhadapan gelombang ketiga penularan Covid-19 dengan catatan tinggi kes baharu harian sejak kebelakangan ini, tidak keterlaluan untuk membuat andaian ada yang mungkin kembali menghadapi tekanan, gangguan emosi serta kemurungan.
Graf kerisauan meningkat
Mengulas perkara ini, Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD), Dr Shawaludin Husin berkata, graf kerisauan rakyat termasuk golongan pekerja dan majikan tidak mustahil kembali meningkat berikutan situasi semasa pandemik.
Menurut beliau, pada peringkat awal Covid-19 melanda negara, kebimbangan rakyat tertumpu kepada soal kesihatan dari aspek penularan atau jangkitan wabak.
Ia seterusnya melibatkan tekanan seperti menyesuaikan diri untuk bekerja dari rumah termasuklah isu penggunaan aplikasi teknologi tertentu untuk berhubung antara pekerja dan majikan serta pengadaptasian normal baharu semasa PKP, yang secara perlahan-lahan dapat diatasi. Rakyat pula semakin terbiasa dengan kelaziman baharu ini.
“Namun begitu, impak yang cukup besar semasa PKP adalah daripada sudut ekonomi apabila ramai pekerja hilang pekerjaan akibat diberhentikan, diberikan cuti tanpa gaji manakala majikan terpaksa menangguh sementara operasi malah ramai yang ‘gulung tikar’ dan menutup operasi perniagaan mereka akibat bebanan kewangan.
“Rata-rata pekerja dan majikan kembali menarik nafas lega apabila kerajaan melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP). Walaupun perniagaan mungkin tidak serancak seperti sebelum pandemik, namun mereka kembali dibenarkan menjalankan operasi perniagaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Kesan tamat moratorium
Sungguh pun begitu, trend peningkatan kes yang berlaku dalam tempoh lebih kurang dua minggu ini membuatkan ramai pekerja dan majikan kembali bimbang akan nasib mereka terutama apabila terdapat beberapa laporan isu pemberhentian pekerja oleh beberapa buah syarikat yang terjejas teruk.
Dr Shawaludin yang juga Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) berkata, ditambah pula dengan tempoh moratorium yang tamat pada 30 September lepas, ia sedikit sebanyak turut menyumbang kepada tekanan golongan berkenaan kerana perlu membayar komitmen hutang bulanan seperti biasa.
“Penghujung Oktober nanti, baru kita akan nampak impak ekonomi rakyat yang sebenar. Sebelum ini ada moratorium dan pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan kerajaan dan beberapa pihak, jadi bebanan kewangan mereka mungkin tidak terlalu terasa.
“Selepas ini (tamat tempoh moratorium) bukan sahaja pekerja ‘pening kepala’, bahkan majikan turut terkesan kerana perlu membayar kos sewa beli bangunan syarikat, mesin dan peralatan tertentu termasuklah memastikan aliran tunai mereka mencukupi untuk membayar gaji pekerja di samping kos-kos lain.
“Jika tidak ditangani sewajarnya, perkara ini berisiko membawa kepada ‘bahaya psikososial’ (psychosocial hazard) yang lebih serius. Hilang pekerjaan, isu pengangguran, gagal dalam perniagaan dan sebagainya berisiko menyumbang kepada tekanan hidup dan seterusnya masalah sosial dalam masyarakat,” katanya sambil menambah pentingnya kajian dan soal selidik mengenai keadaan semasa ekonomi rakyat termasuk tempoh mereka mampu bertahan melalui insentif yang disediakan.
Menurut Dr Shawaludin, pekerja mahupun majikan perlu lebih maklum dan berterus terang dengan keadaan ekonomi masing-masing, kerana ia dapat membantu kedua-dua pihak membuat persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau berkata, melalui tempoh sukar ini bukan sahaja menuntut soal timbang rasa, tolak ansur, empati dan kerjasama antara pekerja dan majikan, bahkan kedua-duanya perlu saling menyokong antara satu sama lain.
“Majikan perlu berterus terang akan situasi semasa syarikat. Jangan sembunyikan jika syarikat sebenarnya berada dalam keadaan ‘genting’ dan tidak mampu membayar gaji pekerja. Jangan kata ‘okay’, tapi sebenarnya dah teruk. Jujurlah dengan pekerja, setidak-tidaknya mereka boleh membuat persediaan untuk mencari peluang kerja baharu kerana mereka juga ada ahli keluarga yang perlu ditanggung.
“Pekerja pula dalam masa yang sama bertimbang rasalah dengan bebanan yang perlu ditanggung majikan. Ingatlah jasa majikan dan cuba membantu semampu yang boleh untuk memulihkan situasi syarikat. Dalam keadaan ini pekerja dan majikan perlu menjadi lebih kreatif dan berani mencuba strategi baharu perniagaan bagi memastikan operasi dapat diteruskan,” katanya.
Turut menyentuh mengenai peranan majikan dalam melindungi pekerja berikutan pandemik Covid-19, beliau berkata adalah menjadi kewajipan setiap majikan dan orang yang bekerja sendiri memastikan premis mereka sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
Beliau berkata, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994), turut terpakai dalam situasi semasa ketika ini. Majikan serta mereka yang bekerja sendiri bertanggungjawab memastikan persekitaran tempat kerja selamat dan sihat bukan sahaja daripada aktiviti kerja seperti bahan kimia dan bunyi bising, tetapi juga risiko biological hazard seperti jangkitan Covid-19.
Ia bukan sahaja melibatkan pekerjaan yang terdedah secara langsung terhadap pandemik ini seperti petugas barisan hadapan (frontliners) termasuk doktor, jururawat, kakitangan makmal dan pemandu ambulans, namun turut terpakai kepada pekerjaan lain yang turut berisiko terhadap jangkitan pandemik melalui rakan sekerja, pelawat serta kontraktor yang masuk ke dalam premis bangunan tempat kerja
“Dalam hal ini, mana-mana individu yang tidak mematuhi SOP sebagai contoh tidak mengimbas kod QR MySejahtera, mengambil suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka, tidak sewajarnya dibenarkan memasuki premis. Mana-mana majikan ataupun individu yang bekerja sendiri boleh mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat kerana berisiko mendatangkan kemudaratan kepada individu lain,” katanya.
Tingkat kesedaran
Turut berkongsi pandangan, Pegawai Psikologi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, Nasrullah Zainal Abidin berkata, isu kesihatan mental perlu dibincangkan secara terbuka dan menjadi isu yang sama pentingnya dengan penjagaan kesihatan fizikal seperti sakit jantung dan diabetes.
Sebagai langkah meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat berhubung penjagaan kesihatan mental, beliau berkata peranan pengamal profesional dalam bidang itu seperti kaunselor, pakar psikiatri, psikologi klinikal, pekerja sosial perlu diiktiraf bagi meningkatkan kualiti penyampaian khidmat psikologi dan kaunseling.
“Polisi sedia ada juga mungkin perlu ditambah baik bagi mengangkat profesionalisme ini. Kesihatan dan keselamatan pekerja bukan hanya bergantung kepada aspek fizikal semata-mata bahkan melibatkan aspek psikologi yang menyumbang kepada kesejahteraan pekerja. Tindakan mengasingkan dan tidak cakna terhadap kedua-dua elemen ini akan memberi kesan besar kepada produktiviti sesebuah organisasi.
“Contohnya jika pekerja mempunyai masalah kesihatan mental seperti burn out, stres yang tidak terkawal, ia akan memberi kesan langsung kepada kesihatan fizikal mereka. Absenteeism atau kerap cuti sakit boleh menjadi antara petunjuk kepada masalah kesihatan mental yang dihadapi.
“Majikan perlu bersikap prihatin dan melaksanakan intervensi kesihatan mental dalam kalangan pekerja kerana harus diakui masalah ini sememangnya wujud di tempat kerja,” katanya sambil menambah isu hubungan majikan dan pekerja, kurang motivasi serta masalah peribadi seperti beban kewangan dan keluarga adalah antara faktor penyumbang kepada isu kesihatan mental pekerja.
Beliau pada masa sama turut menambah, inisiatif sesetengah organisasi dengan menubuhkan ‘Kumpulan Rakan Pembimbing’ yang terlatih di tempat kerja dapat membantu mengekang isu berkenaan di tempat kerja sekaligus mempamerkan keprihatinan majikan dalam menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja mereka.- Bernama