KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd menutup sementara cawangan Lahad Datu di Sabah termasuk terminal layan diri berkuat kuasa serta-merta sehingga diberitahu kelak.
Bank Islam dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan cawangan ini adalah sebahagian langkah berjaga-jaga yang diambil setelah seorang kakitangan didapati positif koronavirus (Covid-19).
“Kakitangan tersebut kini sedang menjalani rawatan di hospital kerajaan,” katanya.
Menurutnya, kakitangan terbabit dan anggota keluarga terdekatnya telah menjalani tempoh kuarantin rumah sejak 28 September 2020 setelah melakukan perjalanan ke Tawau baru-baru ini.
“Bank Islam sedang menjalankan proses sanitasi dan pembersihan di cawangan berkenaan secara menyeluruh termasuk ruang-ruang kemudahan umum.
“Bank juga menjejak kontak rapatdan memaklumkan kepada individu yang mempunyai hubungan langsung dengan kakitangan terbabit serta menasihati mereka supaya menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di rumah,” katanya.
Katanya, langkah itu diambil sesuai dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan Bank Islam mengenai Covid-19.
Sementara itu, Bank Islam menggalakkan pelanggan untuk menggunakan platform perkhidmatan perbankan digital termasuk aplikasi mudah alih GO by Bank Islam atau Perbankan Internet Bank Islam, https://www.bankislam.biz
Bank juga akan mengecualikan caj pengeluaran tunai di mesin MEPS supaya pelanggan bebas melakukan pengeluaran di mana-mana mesin ATM yang berhampiran mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.
“Pelanggan juga dinasihatkan agar merujuk platform media sosial kami untuk sebarang perkembangan terkini,” katanya. – Bernama