SHAH ALAM – Satu gerakan pendesak perlu diwujudkan bagi memastikan usaha membasmi gejala rasuah direalisasikan di negara ini.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, gerakan itu memerlukan gabungan suara rakyat, pertubuhan masyarakat madani, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agamawan daripada pelbagai latar belakang agama untuk menjayakan kempen desakan ini.
“Rasuah adalah isu nasional yang harus ditangani seluruh rakyat Malaysia kerana ia adalah barah yang akan menghancurkan potensi negara ini untuk maju pada masa akan datang.
“Justeru, ia perlu sama-sama diatasi, semua pihak perlu duduk semeja untuk menghasilkan solusi menyeluruh bagi menangani gejala rasuah ini daripada terus mengakar.
“Solusi ini meliputi mengusulkan penambaikkan undang-undang anti-rasuah dan proses penguatkuasaan yang lebih ketat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, sebelum ini pertubuhan masyarakat madani atau NGO cuba untuk mengetengahkan reformasi institusi termasuk mencadangkan rang undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik dan pindaan terhadap Akta Rahsia Rasmi supaya dapat mewujudkan ketelusan tetapi ia masih belum diterima secara menyeluruh.
Sementara itu, Muhammad Faisal dengan tegas berkata, ABIM komited untuk menyatukan seluruh rakyat meliputi segenap segmen masyarakat untuk bersama membina kesepakatan membanteras rasuah bagi melahirkan satu ‘bangsa Malaysia’ yang bermaruah.
“ABIM optimistik satu ‘bangsa Malaysia’ yang disatukan dengan nilai dan watak yang bersih, berintegriti dan bermaruah pasti akan dapat dilahirkan jika kita sama-sama serius berperanan sebagai suara pendesak untuk memastikan perubahan yang kita inginkan dapat direalisasikan demi kebaikan negara pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, ABIM memandang berat laporan indeks persepsi rasuah (CPI) 2020 yang dikeluarkan oleh Transparency-International (TI).
Katanya, laporan itu menyatakan bahawa kedudukan Malaysia telah merosot enam anak tangga iaitu berada di tempat ke-57 berbanding 51 pada tahun 2019.