Home Rasuah Busters Belia tak sedar terjebak rasuah

Belia tak sedar terjebak rasuah

0
Belia tak sedar terjebak rasuah

KURANG pemahaman mengenai definisi dan bentuk rasuah yang hadir dalam pelbagai cara menyebabkan golongan belia mudah terjebak dengan jenayah tersebut tanpa sedar.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz berkata, rasuah tidak semestinya hadir dalam bentuk wang ringgit, namun ia juga wujud dalam bentuk lain seperti salah guna kuasa, kenaikan pangkat, pemberian hadiah dan sebagainya.

Menurut beliau, kegagalan pemberi dan penerima rasuah untuk mengenalpasti perkara tersebut menjadi salah satu punca mereka terjebak dengan jenayah itu sekali gus sukar untuk dibanteras.

“Masyarakat telah menanam satu pemikiran bahawa rasuah hanya hadir dalam bentuk wang tanpa menyedari ia juga boleh muncul dalam bentuk yang lain.

“Pada mereka, selagi mereka tidak menerima wang sogokan atau yang berkaitan dengan wang, selagi itu ia bukan rasuah dan perbuatan itu tidak salah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, sekiranya jenayah rasuah tidak dibendung di peringkat belia, ia akan menjejaskan integriti golongan tersebut yang dianggap sebagai pemimpin masa hadapan.

Jelasnya, jenayah itu selalunya berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai jawatan atau kedudukan yang tinggi dalam organisasi seperti ketua jabatan, pemimpin masyarakat yang terlibat dalam proses membuat keputusan.

“Jika mereka terjebak dengan jenayah rasuah terlalu lama, ia akan memberi kesan kepada pentadbiran dan pengurusan.

“Kita perlu melihat jauh ke hadapan dengan memberi kesedaran awal mengenai bahaya jenayah rasuah di peringkat belia kerana mereka ini bakal pemimpin masa hadapan,” katanya.

Muhammad Sherhan juga menjelaskan ada segelintir belia yang pernah menyaksikan jenayah rasuah terjadi di hadapan mereka, namun mereka takut untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Ujarnya, mereka khuatir identiti dan maklumat diri didedahkan kepada pihak yang diadukan serta bimbang diancam pihak tersebut.

“Masih ada belia yang tidak tahu mengenai kewujudan akta yang melindungi maklumat peribadi.“Saya sarankan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi sedikit saguhati kepada sesiapa yang melaporkan kes rasuah dan menjamin keselamatan si pemberi maklumat.

“Jika perkara sebegini dilaksanakan, saya pasti ramai belia tidak akan takut untuk melaporkan kes-kes rasuah yang mereka nampak kepada pihak itu,” katanya.

Beliau turut menyokong gerakan Sinar Rasuah Busters yang diperkenalkan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang mendedah dan beri kesedaran kepada belia mengenai jenayah rasuah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here