Home Rasuah Busters Video tular salah satu satu bahan bukti: Zed Zaidi

Video tular salah satu satu bahan bukti: Zed Zaidi

Video tular salah satu satu bahan bukti: Zed Zaidi

SHAH ALAM – Pelakon dan pengacara, Zed Zaidi menjelaskan videonya yang tular baru-baru ini di TikTok mengenai perselisihan faham dengan seorang ahli Badan Pengurusan Bersama (JMB) adalah sebagai salah satu bahan bukti yang mahu ditunjukkannya.

Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil mendakwa, ini disebabkan pihak JMB selalu bertukar-tukar cerita apabila pihaknya mahu berurusan dengan mereka.

“Bila kita ada video ini, mereka tidak boleh bertukar cerita. Kalau A, A lah. Kalau kita nak tunjukkan bukti, video itulah sebagai bukti yang kita ini bercakap benar.

“Sebab bila kita berurusan dengan mereka terutama sekali yang mempunyai JMB, Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) atau pengurusan bangunan yang korup, mereka selalu memberi alasan-alasan yang tidak munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘JMB Korup, Pemilik Jadi Mangsa’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program yang dikendalikan Fiza Sabjahan itu turut menampilkan aktivis, Shafik Abdullah dan penganalisis hartanah, Faizul Ridzuan.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video menunjukkan Zed Zaidi mengamuk dipercayai selepas perniagaannya diganggu oleh JMB di tempat beliau meniaga.

Menerusi satu rakaman yang dimuat naik sendiri Zed Zaidi di TikTok, beliau dilihat sedang berselisih faham dengan seorang individu dipercayai ahli jawatankuasa bangunan.

Beliau juga dilihat membawa pemotong dawai bersaiz besar sambil memanjat tangga dipercayai mahu memotong pagar di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Zed Zaidi berkata, beliau bertekad untuk terus berjuang mengenai kesalahan atau perkara-perkara yang tidak betul melibatkan JMB atau JMC.

“Sehingga ada satu tindakan yang berlaku. Saya tidak tahu, mungkin di pihak pesuruhjaya bangunan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis atau di peringkat tribunal perumahan dan pengurusan strata.

“Ini tindakan-tindakan yang saya rasa perlu diambil supaya kes saya menjadi contoh kepada seluruh JMB di Malaysia,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan agar penduduk mengetahui hak mereka serta dilindungi di bawah Akta Pengurusan Strata 2013.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here