Home Koronavirus Covid-19: KKM mulakan rawatan ubat antibodi Evusheld

Covid-19: KKM mulakan rawatan ubat antibodi Evusheld

Covid-19: KKM mulakan rawatan ubat antibodi Evusheld

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan rawatan ubat antibodi Monoclonal Tixagevimab Plus Cilgavimab (Evusheld) dalam usaha memastikan golongan berisiko tinggi mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi Evusheld dapat melindungi penerima dari jangkitan Covid-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.

“Buat masa ini, ubat antibodi Evusheld ini hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis pra pendedahan untuk golongan yang belum dijangkiti Covid-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.

“Penilaian kelayakan pesakit untuk menerima ubat antibodi ini akan dilakukan oleh pakar perubatan yang merawat pesakit,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kaedah pemberian ubat antibodi tersebut adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan bagi dua jenis ubat iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab serta diberikan secara berturut-turut.

Beliau berkata, bagi pesakit ‘immunocompromised’ yang telah menerima vaksin Covid-19, Evusheld hendaklah diberikan sekurang-kurangnya dua minggu selepas vaksinasi.

“KKM akan sentiasa berusaha untuk mempersiap dan melengkapkan sistem kesihatan negara dengan kelengkapan serta ubat-ubatan yang selamat serta berkualiti tinggi untuk melindungi seluruh penduduk di Malaysia daripada dijangkiti Covid-19 atau mendapat kesan jangkitan yang teruk.

“Dengan adanya ubat-ubatan serta kaedah rawatan yang sentiasa ditambah baik, KKM percaya dan yakin bahawa Malaysia kini berada pada landasan yang terbaik untuk melalui fasa peralihan ke endemik ini dengan berkesan dan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan seramai 1,364 orang pesakit diberikan rawatan Paxlovid dan telah sembuh sepenuhnya serta tiada sebarang kesan sampingan teruk dilaporkan sejak 5 Jun lalu.

“Rawatan ini terbukti selamat dan berkesan serta dapat mengurangkan kesan teruk jangkitan serta kadar kematian pesakit Covid-19.

“Bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit, rawatan menggunakan ubat Paxlovid ini akan diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta terpilih dalam waktu yang terdekat.

“Pemberian ubat Paxlovid kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma. Bagaimanapun, pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan lain-lain caj berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here