Home Rasuah Busters Usah lengah usaha banteras rasuah

Usah lengah usaha banteras rasuah

0
Usah lengah usaha banteras rasuah

SHAH ALAM – Tindakan melengah-lengahkan usaha membanteras gejala rasuah secara tegas dan drastik akan menyukarkan Malaysia untuk berada dalam landasan menuju kemajuan sesebuah negara.

Yang Dipertua Kesatuan Pelajar Islam Perak, Ahmad Syahir Abdul Razak berkata, berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 2020, Malaysia berada di tangga yang ke-57 berbanding ke-51 daripada 180 negara pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, hal ini sangat membimbangkan kerana ia membantutkan kemajuan negara dari segi pemikiran dan masa depan anak bangsa.

“Natijah yang terpaksa kita tanggung daripada gejala rasuah ini adalah kurangnya pemimpin yang berintegriti dan berwibawa, kemerosotan ekonomi dan yang paling ditakuti adalah pengabaian hak dan kepentingan rakyat.

“Sebagai sebuah pertubuhan belia Islam di negeri Perak, Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) menggesa agar kesalahan rasuah dapat dibendung pada kadar segera kerana jenayah ini amat membimbangkan hingga mencemarkan imej negara.

“Malaysia perlu menjadi sebuah negara maju dari segi pendidikan, ekonomi serta pembangunan dan bukannya menjadi negara teratas dalam jenayah rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, KPIP berharap agar pihak kerajaan memandang serius dalam membanteras gejala rasuah yang amat menakutkan di negara ini.

Jelasnya, KPIP bersiap sedia untuk bersama dan menyokong sepenuhnya dengan mana-mana pihak yang bermatlamat memastikan gejala rasuah di negara ini dapat dibendung.

“Tindakan melengah-lengahkan dalam membanteras gejala rasuah secara tegas dan drastik akan menyukarkan Malaysia untuk berada dalam landasan menuju kemajuan sesebuah negara yang ingin dicapai,” ujarnya.

Tambahnya, KPIP yang juga merupakan badan gabungan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menggerakkan beberapa program berkaitan pendidikan rasuah antaranya Bengkel Malaysian Youth Anti-Corruption Taskforce (MYACT) Zon Tengah yang telah berlangsung pada 24 Julai lalu.

“Bengkel ini dijalankan bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Belia Rasuah Busters Sinar Harian dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Malaysia Reform Initiative (MARI), Kedutaan Amerika Syarikat dan United States Agency for International Development (USAID) sebagai salah satu usaha memberikan penerangan berkaitan rasuah bagi mengelakkan golongan belia terjebak dengan perlakuan yang negatif ini,” katanya.

Justeru, KPIP mengajak semua lapisan masyarakat terutama golongan belia agar bersama-sama memainkan peranan dan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi membanteras gejala rasuah ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here