Home Rasuah Busters UDA pergiat inisiatif tangani rasuah sektor pembinaan

UDA pergiat inisiatif tangani rasuah sektor pembinaan

0
UDA pergiat inisiatif tangani rasuah sektor pembinaan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menyedari usaha mencegah jenayah rasuah di sektor pembinaan memerlukan penglibatan semua pihak dan perlu dilakukan sejak dari awal, UDA Holdings Berhad (UDA) memperkenalkan inisiatif Pakatan Integriti Perolehan menerusi Polisi Anti Rasuah dan Integriti pada 2015.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Kailany berkata, Pakatan Integriti Perolehan berkenaan merupakan deklarasi UDA bersama rakan niaganya untuk bersama-sama menangani sebarang gejala rasuah dan salah laku.

Menurutnya, menerusi inisiatif itu UDA dan rakan niaganya tidak boleh membayar, menawar, meminta dan menerima rasuah untuk mendapatkan sebarang bentuk pekerjaan, kontrak atau tender.

“Sekiranya berlaku pelanggaran atau ketidakpatuhan, pembida boleh ditamatkan kontrak, hilang kelayakan bidaan, pelucutan hak wang kesungguhan dan disenarai hitam serta kakitangan terlibat boleh dikenakan tindakan tatatertib dan diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut Mohd Salem rasuah dalam sektor pembinaan boleh berlaku sekiranya kerja yang dijalankan tidak mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan tidak menerapkan nilai tadbir urus korporat dan budaya kerja yang telus dan kompetitif.

UDA katanya, telah memperoleh pensijilan ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) pada tahun lepas sebagai strategi untuk memperkukuh komitmen pencegahan rasuah secara lebih menyeluruh melibatkan segenap lapisan tenaga kerjanya.

Tambahnya, UDA sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merupakan agensi pertama menerima pensijilan berkenaan.

“UDA turut menjalinkan kerjasama strategik dan perkongsian pintar dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM), Transparency International-Malaysia (TI-M) dan Malaysian Institute of Corporate Governance (MICG) dalam usaha memartabatkan budaya kerja berintegriti serta mewujudkan ekosistem pencegahan rasuah yang efektif.

“Pada tahun lepas UDA juga melaksanakan kaji selidik tahunan alat ukuran integriti yang dibangunkan oleh IIM bagi mengukur dan menanda aras amalan dan budaya tadbir urus, integriti dan antirasuah di UDA,” katanya.

Beliau berkata, mulai Januari lepas atas dokongan serta komitmen Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat itu, UDA telah melaksanakan Deklarasi Aset dan Liabiliti dengan setiap warga kerjanya perlu mengisytiharkan aset dan liabiliti mereka secara tahunan dalam menangani risiko rasuah.

“Deklarasi ini mewajibkan warga kerja di semua peringkat termasuk Ahli Lembaga Pengarah mengisytiharkan harta dan tanggungan yang dimiliki atau diwarisi oleh diri sendiri dan pasangan bagi tujuan mencegah rasuah, konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa serta meningkatkan ketelusan dan kepercayaan awam,” katanya.

Menurutnya, deklarasi itu, ia dapat memastikan pemilikan harta dan gaya hidup pekerja seimbang dengan kemampuan dan pengisytiharan perlu dilakukan setiap tahun walaupun tanpa sebarang harta atau tanggungan, semasa menyertai UDA, semasa memperoleh harta atau tanggungan baharu serta semasa pelupusan harta.

Dalam pada itu, Mohd Salem berkata, selain memperkenalkan inisiatif sendiri, UDA juga komited dalam mematuhi inisiatif-inisiatif membanteras rasuah yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti Penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM dan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membabitkan program integriti dan antirasuah.

Katanya, UDA kini dalam usaha merangka program CSR bersesuaian untuk dianjurkan pada masa hadapan demi menyokong usaha kerajaan dan SPRM dalam membanteras gejala rasuah.

Menurutnya, UDA berpendapat penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang adil, bersih dan bebas rasuah selain diharap dapat menggalakkan organisasi komersial melaksanakan usaha pencegahan rasuah dan mempromosikan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata, UDA melihat penguatkuasaan seksyen itu dapat menjadi garis panduan dalam mewujudkan syarikat yang sifar rasuah berikutan tiada pihak terkecuali dan UDA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang terbabit dengan salah laku serta rasuah. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here