Home Rasuah Busters Tuntut pampasan jika kemalangan akibat kecuaian pihak berwajib

Tuntut pampasan jika kemalangan akibat kecuaian pihak berwajib

0
Tuntut pampasan jika kemalangan akibat kecuaian pihak berwajib

SHAH ALAM – Mangsa kemalangan jalan raya disaran untuk membuat tuntutan mengikut perundangan bagi memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

Peguam, Muhammad Amin Abdullah berkata, tuntutan itu bagi membolehkan mangsa mendapat ganti rugi berkaitan segala jenis kos yang ditanggung selepas terlibat kemalangan.

“Katakan kemalangan disebabkan tiada turapan (jalan raya) dibuat, jadi mahkamah akan buat ‘rulling’ berkenaan keadaan itu, (jumlah) 100, 50 atau 30 peratus boleh dituntut bergantung kepada fakta yang dibentangkan di mahkamah ketika perbicaraan.

“Seterusnya bila masukkan kenyataan tuntutan berdasarkan fakta, mangsa akan dapat ganti rugi am dan khas. (Ganti rugi) khas yang boleh dikira, (ganti rugi) am yang ditentukan oleh mahkamah untuk penilaian.

“Contoh jari patah boleh tuntut (ganti rugi), lagi besar kecederaan, lagi banyak mahkamah pertimbangkan bergantung kepada liabiliti dan ganti rugi khas adalah kos-kos untuk dapatkan laporan perubatan atau kos perjalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Apa kaitan dengan jalan raya rosak’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi dan mangsa kemalangan jalan raya, Muhammad Azizi Abdul Manap manakala Hanif Miswan bertindak sebagai modertor.

Dalam pada itu Muhammad Amin menjelaskan, waris yang hilang punca pendapatan dan tempat bergantung ekoran mangsa meninggal dunia akibat kemalangan turut layak mendapat ganti rugi sekiranya terbukti kejadian itu berlaku disebabkan kecuaian pihak berwajib.

“Jika berlaku kematian akibat kemalangan, kehilangan tempat bergantung atau suami meninggal, waris perlu melantik peguam untuk buat kira-kira.

“Mahkamah akan lihat fakta kecuaian tersebut dan memutuskan jumlah yang perlu dibayar oleh pihak bertanggungjawab contohnya syarikat konsesi, Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada keluarga mangsa,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here