Home Rasuah Busters Tindakan lebih agresif perangi rasuah perlu diperkasakan: Presma

Tindakan lebih agresif perangi rasuah perlu diperkasakan: Presma

0
Tindakan lebih agresif perangi rasuah perlu diperkasakan: Presma

SHAH ALAM – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berpendapat tindakan yang lebih agresif dalam memerangi budaya rasuah di negara ini perlu diperkasa dalam memastikan amalan berkenaan dapat dibendung sepenuhnya.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, selain tindakan tersebut, kebebasan juga perlu diberikan kepada pihak berwajib agar gejala itu dapat diatasi dari peringkat bawah hinggalah ke peringkat atasan.

“Ini kerana saya melihat rasuah sudah menjadi satu budaya, bahkan sudah lama bertapak di negara kita. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng, sebaliknya perlu ditangani segera dan lebih agresif.

“Kalau kita lihat di negara maju, isu rasuah jarang berlaku. Berbeza pula dengan negara mundur, yang mana rasuah itu menjadi satu amalan biasa.

“Jadi untuk memastikan negara kita terus membangun, ia terletak di bahu kita semua. Sama ada pemimpin, ahli politik, menteri, mahupun peniaga seperti kami, semuanya perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Jawahar turut mengakui bahawa tekanan hidup terutama dari segi masalah kewangan menjadi punca utama seseorang itu terlibat dengan budaya rasuah.

“Selain itu, kurangnya integriti dan perasaan malu terhadap amalan rasuah juga menjadi salah satu punca.

“Islam melarang perkara ini, namun adakah mereka yang berbuat demikian rasa malu dan tahu ia berdosa? Sudah tentu tidak, kerana kurangnya rasa bersalah itu,” tegasnya.

Beliau menambah, amalan rasuah dalam kalangan masyarakat sepatutnya tidak berlaku kerana ia akan memberikan kesan jangka masa panjang.

“Kita tidak mahu generasi akan datang bergelumang dengan isu rasuah di mana tiada nilai integriti, lebih fokus kepada kebendaan semata-mata sekali gus menyebabkan nilai itu hilang.

“Rasuah ini ibarat racun, jika terlalu lama ditanam, semakin rosak pemikiran masyarakat khususnya anak muda,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, Presma sentiasa memantau mana-mana pengusaha ataupun pekerja terlibat dengan sebarang gejala yang tidak sihat itu.

“Alhamdulillah, sehingga kini, kita belum mendapat apa-apa berita tentang isu rasuah dalam kalangan pengusaha seperti kami.

“Kita selalu tekankan, setiap pengusaha perlu jujur dalam menjalankan perniagaan. Jika sikap jujur ini terus menjadi amalan, maka tiada isu rasuah akan timbul,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here