Home Rasuah Busters 'Tidak sampai hati minta duit daripada waris si mati'

'Tidak sampai hati minta duit daripada waris si mati'

0
'Tidak sampai hati minta duit daripada waris si mati'

SHAH ALAM – Sukarelawan Amal Valley Organization, Omar Mokhrij Johari terkilan dengan sikap segelintir individu yang mengambil kesempatan terhadap waris si mati dengan mengenakan kadar caj terlampau tinggi bagi melakukan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Omar Mokhrij turut mempersoalkan tindakan individu terbabit yang mana tergamak berbuat demikian, sedangkan waris si mati pada ketika itu berada dalam keadaan sedih dan tidak stabil.

“Kalau saya turun sendiri ke lapangan, saya tidak sampai hati nak minta duit daripada waris (si mati). Ditambah pula dengan keadaan waris yang sedih, tidak tahu buat apa-apa untuk menguruskan jenazah arwah keluarganya.

“Ini kan pula di Kelantan isu pembayaran pengurusan jenazah pesakit Covid-19 dianggarkan di antara RM1,300 hingga RM1,900. Ini bukan sahaja tidak munasah, malah membebankan waris mangsa.

“Kalau urusan Covid ini setahu saya ia sekadar tayamum. Pakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) yang harganya boleh dapat sekitar RM50 atau RM60. Sekali pakai boleh urus lima ke enam jenazah sekali gus.

“Jadi, macam mana boleh sampai hati nak kenakan caj terlampau tinggi kepada orang yang tengah berada dalam keadaan sedih,” katanya pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kartel Jenazah, Sampai Bila?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program yang dikendalikan Zaim Zaini itu turut menampilkan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dan jurulatih pengurusan jenazah, Amir Muttaqin sebagai panel jemputan.

Mengulas mengenai beberapa petugas kesihatan yang didakwa terlibat dengan kegiatan rasuah berjumlah antara RM1,000 dan RM5,000 bagi kerja-kerja berkaitan pengurusan jenazah, Omar Mokhrij turut berkata, ia merupakan satu isu yang sangat berat.

“Bila mana urusan jenazah yang merupakan urusan duniawi yang terakhir bagi seorang manusia, kita yang hidup boleh lagi melakukan satu dosa yang jelas disebut dalam al-Quran iaitu rasuah.

“Sepatutnya bila kita berhadapan dengan urusan ini, ia adalah urusan yang mendatangkan keinsafan, malah mengingatkan kita tentang kematian.

“Tetapi dalam keadaan tersebut, boleh pula kita meminta wang suapan jika mahu menguruskan kerja-kerja pengurusan jenazah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here