Home Rasuah Busters Tiada parti mampu jadi juara anak muda

Tiada parti mampu jadi juara anak muda

0
Tiada parti mampu jadi juara anak muda
Tharma Pillai (kanan) dalam rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Apa Anak Muda Mahu.

SHAH ALAM – Tiada parti yang mampu menambat hati anak muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang berdasarkan satu kaji selidik yang dilakukan oleh platform Undi18.

Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai berkata, kaji selidik itu turut menunjukkan sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan jumlah anak muda tersebut berada di atas pagar dan tidak tahu parti mana yang mahu dipilih pada PRU15 nanti.

Menurutnya, setiap parti yang bertanding dalam PRU15 nanti perlu bertindak secara agresif dalam usaha menarik minat pengundi muda mengundi parti mereka.

“Daripada kaji selidik yang dijalankan, ia menunjukkan bahawa anak muda cakna tentang apa yang berlaku dalam kancah politik atau situasi semasa negara walaupun mungkin tidak tahu secara dekat.

“Bagi mereka, tidak ada parti politik yang kehadapan dan menjadi juara anak muda. Itu perkara yang parti politik kena tekankan.

“Parti politik ini kena lihat apa solusi yang dibawa kepada orang muda untuk benar-benar meyakinkan mereka dan tarik mereka mengundi nanti. Jumlah 40 peratus itu sangat besar sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Apa Anak Muda Mahu yang dihoskan Asmaliza Mansor dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Dalm pada itu, Tharma menegaskan, kesedaran tentang pentingnya mengundi dan isu semasa dalam kalangan pengundi muda semakin mekar serta mereka mempunyai keinginan tertentu yang diharapkan mampu diterjemahkan dengan baik oleh parti pemerintah.

“Apabila ada satu faktor perangsang iaitu PRU15 maka ramai pengundi muda yang faham bahawa mereka kena mengundi. Contohnya, nanti mak ayah mereka suruh pergi mengundi bahkan universiti juga memberikan cuti untuk mereka keluar mengundi.

“Jadi, mereka tahu tanggungjawab mereka. Persoalannya, adakah mereka akan jadi pengundi yang bijak, adakah cukup berilmu dan faham tentang politik serta akan pilih pemimpin yang bijak?

“Di sini parti perlu memainkan peranan mereka mencari solusi apakah keinginan anak muda ini. Adakah bagi duit secara one off sudah cukup? Atau mereka minta sesuatu yang lebih besar daripada segi pendidikan, perumahan dan sebagainya,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here