Home Rasuah Busters 'Jangan sekadar serah kuasa ketika PRU'

'Jangan sekadar serah kuasa ketika PRU'

0
'Jangan sekadar serah kuasa ketika PRU'
Tharma Pillai

SHAH ALAM – Rakyat di negara ini diingatkan untuk terus memainkan peranan menekan kerajaan yang dipilih untuk memastikan mereka melaksanakan janji yang ditabur pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai berkata, rakyat perlu terus menggunakan kuasa yang dimiliki dalam usaha memastikan kerajaan sentiasa berada di jalan yang betul dan mengutamakan kepentingan rakyat.

“Saya selalu katakan bahawa demokrasi bermula di peringkat undi tetapi ia tidak berakhir di situ. Ramai daripada kita melihat konsep demokrasi bermula dan berakhir di peringkat undi seterusnya kita serahkan kuasa kita di peringkat itu.

“Saya tidak setuju dan saya menyeru kepada rakyat Malaysia, jangan hanya serahkan kuasa sewaktu PRU dan selepas itu kita tak endah. Kita masih kena tekan dan mengingatkan kerajaan serta siapa yang jadi pembangkang bahawa kuasa rakyat perlu dihormati serta agenda rakyat perlu diperjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Apa Anak Muda Mahu yang dihoskan Asmaliza Mansor dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan rakyat terutama pengundi muda untuk keluar mengundi dalam usaha memastikan parti yang layak dipilih mempimpin negara.

“Hakikatnya, kalau anda tidak keluar mengundi, orang lain akan buat pilihan untuk diri anda. Maka, anda hilang suara anda untuk negara dan ia satu perkara yang cukup membazir.

“Selain itu, kalau mahu pilih pemimpin, jangan hanya pilih secara sentimen. Buat kajian dan fikir adakah pemimpin ini akan bawa negara kita ke arah satu sistem yang lebih baik, adakah pemimpin ini anti rasuah atau adakah pemimpin ini akan bawa polisi yang akan bantu saya dan keluarga saya nanti.

“Kita kena ingat tahun depan akan jadi tahun yang susah. Memang semua pakar ekonomi dah jangka dan adakah kita hanya nak hantar pemimpin yang tidak layak ke Putrajaya atau kita nak hantar pemimpin yang terbaik,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here