Home Rasuah Busters Subjek jenayah kewangan di sekolah, IPT pupuk budaya antirasuah

Subjek jenayah kewangan di sekolah, IPT pupuk budaya antirasuah

0
Subjek jenayah kewangan di sekolah, IPT pupuk budaya antirasuah

SHAH ALAM – Kerajaan disaran supaya memperkenalkan subjek jenayah kewangan di peringkat sekolah mahupun institut pengajian tinggi (IPT) agar dapat melahirkan generasi yang cakna menolak rasuah.

Pensyarah Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang, Khairul Anuar Abdul Hadi berkata, jenayah kewangan melibatkan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan penyelewengan harta awam.

Menurutnya, jenayah tersebut bermotifkan wang ringgit dan harta benda yang bertujuan kekayaan peribadi.

“Fokus subjek ini adalah untuk memberi kefahaman tentang jenayah kewangan supaya generasi muda mempunyai ilmu dan kesedaran berkaitan dengan hal ini.

“Penekanan terhadap bahaya perlakuan ini perlu diterapkan kepada anak muda kerana ia boleh merugikan dana awam dan kerajaan.

“Secara tidak langsung, subjek ini dapat membawa budaya antirasuah kepada generasi akan datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Khairul Anuar menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang unit integriti di setiap jabatan kerajaan perlu diperkasakan.

Ujarnya, undang-undang kebebasan maklumat perlu diperkenalkan bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat berkenaan keputusan yang dibuat oleh badan-badan kerajaan.

“Ini membolehkan proses semak dilaksanakan secara menyeluruh. Sebagai contoh, United Kingdom memperkenalkan Freedom of Information 2000 sebagai salah satu instrumen antirasuah di negara mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, rakyat adalah golongan yang akan terkesan akibat rasuah terutama apabila berlakunya ketidakadilan sosial iaitu wang mengatasi kebolehan individu.

“Pada masa sama, harga barang akan meningkat kerana wujud kos-kos yang tersembunyi hasil daripada aktiviti yang salah seperti rasuah,” jelas Khairul Anuar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here