Home Koronavirus Covid-19: Majlis kahwin, cukur jambul cetus kluster baharu

Covid-19: Majlis kahwin, cukur jambul cetus kluster baharu

0
Covid-19: Majlis kahwin, cukur jambul cetus kluster baharu

KOTA KINABALU – Majlis perkahwinan dan cukur jambul didapati telah mencetuskan satu kluster baharu Covid-19 melibatkan jangkitan dalam komuniti di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap kerajaan negeri Sabah berkaitan perkembangan harian Covid-19 berkata, kluster baharu berlaku di Kampung Karanaan itu dikesan selepas seorang lelaki tempatan yang merupakan kakitangan awam berumur 29 tahun didapati positif wabak berkenaan.

“Penularan virus dipercayai berpunca daripada perkumpulan orang ramai dalam majlis perkahwinan dan upacara potong jambul yang turut dihadiri saudara mara dari luar daerah. Seramai 52 penduduk kampung telah dijangkiti setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam Ahad.

Masidi berkata, kluster baharu di Ranau itu adalah satu peringatan penting kepada orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang masa.

Ini lebih-lebih lagi Sabah akan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara mulai Isnin dengan pelbagai sekatan ke atas majlis-majlis sosial dan aktiviti-aktiviti ekonomi akan dilonggarkan, katanya.

“Kesannya ialah risiko jangkitan di tempat-tempat awam dan acara-acara sosial akan semakin tinggi. Rakyat digesa agar tidak lalai mematuhi semua SOP. Kelonggaran ini meletakkan tanggungjawab ‘frontliners’ (barisan hadapan) ke atas bahu rakyat sendiri untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata, sebanyak 405 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif 221,749 kes, dengan dua kes kematian dilaporkan masing-masing satu di Beaufort dan Kota Marudu.

Seramai 537 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah menjadikan jumlah kumulatif 210,551 pesakit sembuh, manakala 1,789 pesakit masih menerima rawatan, katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here