SHAH ALAM – Saranan agar semua calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengisytiharkan harta adalah tindakan tepat terutama bagi menghindar daripada terjebak dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pemimpin dan NGO Pelbagai Penganut Agama, Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, pengisytiharan jumlah harta yang dimiliki sebelum bergelar ‘Yang Berhormat’ atau dalam tempoh tertentu sepanjang perkhidmatan dilihat bertepatan dengan hasrat rakyat untuk melihat pemimpin yang bersih menerajui negara.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN) selain itu berkata, menjadi suatu yang penting sebagai sebahagian bukti bebas daripada penglibatan dalam isu rasuah, pengisytiharan harta akan menjadi semak imbang sekiranya dituduh menerima apa-apa habuan sebagai ahli politik.
“Semua calon yang bertanding perlu untuk mengisytiharkan harta mereka kepada umum supaya pengundi juga tahu jumlah harta dimiliki dan tidak berlaku fitnah sekiranya memiliki harta yang banyak, sedangkan ia diperoleh sebelum memulakan kerjaya sebagai ahli politik,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Jumaat.
Tambah Mohd Jamaludin, pelaksanaan pengisytiharan jumlah harta adalah satu perkara terbuka yang diamalkan banyak negara terutama yang mengamalkan sistem demokrasi berpelembagaan.
“Atas sebab itu, saya sangat bersetuju supaya semua calon bertanding mengumumkan harta dimiliki dan diketahui oleh masyarakat umum, sekali gus menghindar mereka daripada terjebak dengan rasuah.
“Apa yang menariknya di Britain, ada satu undang-undang yang dipanggil sebagai Unexplained Wealth Act iaitu satu akta yang kuat untuk membanteras isu rasuah dan salah guna kuasa.
“Menerusi akta harta yang tidak dapat diperjelaskan ini, sekiranya individu itu tidak boleh menjelaskan daripada mana punca hartanya, maka harta itu akan disita oleh kerajaan.
“Maka ia boleh menjadi satu langkah terbaik secara jujur menyatakan jumlah dan sumber harta dimiliki bebas daripada jalan salah serta meragukan, seterusnya berupaya menjadi bukti kukuh kekayaan diperoleh secara sah,” katanya.
Jelas Mohd Jamaludin, sekiranya berlaku rasuah, sukar untuk membuktikan dari mana sumber perbuatan itu dibuat termasuk cara melaksanakannya.
Malah, katanya, perbuatan rasuah sukar untuk dibuktikan kerana tidak mempunyai jejak bukti atau paper trail, selain wang-wang haram disimpan di pusat simpanan pesisir pantai yang susah untuk dibuktikan.
“Kalau hendak jadi kaya, berniaga dan jangan jadi orang politik. Mereka yang berada dalam politik adalah orang yang hendak berkhidmat kepada masyarakat dan mendapat reda Tuhan.
“Sekiranya masuk politik sebab hendak mengejar kekayaan, ia adalah salah sama sekali. Ini bukan jalannya,” tegasnya.