Home Rasuah Busters NGO digesa bantu mahasiswa pulang mengundi

NGO digesa bantu mahasiswa pulang mengundi

0
NGO digesa bantu mahasiswa pulang mengundi
Badlishah
Badlishah (duduk, tengah) bersama petugas pasukan Rasuah Busters dan pegawai Ikram di Seri Kembangan pada Jumaat.

SERDANG – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkemampuan disaran menghulurkan bantuan kepada golongan mahasiswa yang mahu pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, semua pihak termasuk kerajaan sementara perlu mencari jalan atau menyediakan alternatif terbaik bagi membolehkan golongan itu melaksanakan hak dan tanggungjawab kepada negara.

Katanya, kekangan kewangan, tiada kenderaan untuk pulang serta kehabisan tiket pengangkutan awam terutama perkhidmatan bas bakal menyukarkan kumpulan mahasiswa pulang mengundi di kampung halaman.

Menurutnya, pelajar universiti di luar negara juga berhadapan situasi sukar untuk pulang ekoran harga tiket yang mahal dan jumlah cuti yang terhad.

**media[1960103]**

“Oleh sebab itu, kerajaan sementara khususnya perlu mencari alternatif terbaik bagi membolehkan pelajar-pelajar ini dapat menunaikan hak mereka sebagai pengundi.

“Bagi NGO-NGO yang berkemampuan, mereka boleh membantu menerusi khidmat tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menghulurkan sumbangan kewangan atau menyediakan pengangkutan membawa pelajar pulang ke negeri masing-masing.

“Meskipun Ikram tidak mempunyai dana dan peruntukan yang besar, namun kami akan berusaha sedaya upaya untuk membantu golongan mahasiswa pulang ke kampung halaman bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi perbincangan kerjasama antara Rasuah Busters dan Ikram menjelang PRU15.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin; Ketua Belia, Sosial Media dan Pemasaran Rasuah Busters, Nik Justin Nik Mohd Ariffin dan Pengurus Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan.

Turut hadir, Setiausaha Agung Ikram, Shahrul Aman; Pengurus Jabatan Agenda Nasional Ikram, Md Nasir Tampol dan Ketua Jabatan Agenda Nasional Ikram, Mohd Iqbal Hakim.

Sementara itu mengulas kerjasama Ikram dan Rasuah Busters sempena PRU15, Badlishah berkata, menjadi tanggungjawab pertubuhan itu membantu gerakan massa seperti Rasuah Busters menyebar kesedaran umum terhadap kepentingan keluar mengundi dan memilih pemimpin bersih.

Menurutnya, usaha itu amat penting bagi memastikan negara ‘dibekalkan’ dengan kumpulan pemimpin yang bersih, jujur dan amanah pada PRU15 sekali gus bakal menerajui negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, negara memerlukan golongan pemimpin yang penuh berintegriti dan menolak rasuah bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia di mata dunia serta menjaga kebajikan rakyat.

“PRU15 disifatkan sebagai pilihan raya paling getir, maka kita perlu memastikan semua calon yang dipilih rakyat adalah mereka yang bersih dan berintegriti.

“Ikram lakukan semua ini demi negara tercinta. Kita mahu negara Malaysia ini terus maju dipimpin oleh ahli politik yang amanah dan jujur.

“Selain itu, kita mahukan sebuah kerajaan yang mempunyai kestabilan politik dan dapat memacu ekonomi negara ke arah yang jauh lebih baik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here