SHAH ALAM – Penyanyi hip hop popular tanah air, Zizi Kirana mendedahkan selawat Qamarun merupakan antara sebab menjadikan dirinya berubah secara perlahan-lahan.
Pemilik nama Nur Fazelah Mat Tahir itu berkata, selawat itu sentiasa menjadi permintaan para peminatnya ketika menghadiri program atau acara yang disertai.
“Selawat yang sebenarnya antara asbab menjadikan Zizi Kirana yang sekarang adalah selawat purnama atau Qomarun. Masa itu saya berduet dengan kumpulan (nasyid) UNIC.
“Apabila selawat itu keluar, orang ramai terima dengan baik. Itu antara selawat yang kalau pergi mana-mana, peminat akan minta (alunkan) Qomarun,” katanya pada program MUM bertajuk ‘Zizi Kirana istiqamah dalam berhijrah’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu bekas anggota kumpulan hip hop popular ‘The Fabulous Cats’ itu turut mengakui genre tersebut masih diminati meskipun telah berubah penampilan.
**media[2150525]**
Justeru, penyanyi lagu ‘Eh’ itu menjelaskan, beliau akan terus membawa genre rap, namun menyelitkan nasihat kepada pendengar.
“Saya mahu kekalkan rap (dalam lagu) tetapi ke arah nasihati, nak kekalkan ‘hype’.
“Saya juga akan terus menyanyi kerana itu minat saya sejak kecil dan kini (setelah berhijrah) akan terarah kepada lagu-lagu ketuhanan,” katanya.
Sementara itu berkongsi mengenai perjalanan penghijrahannya, Zizi Kirana mengakui terdetik hati untuk berubah setelah kehilangan ramai insan tersayang di sekelilingnya.
“Bila hati dah dijentik, akan terus rasa inilah masanya (untuk berubah) dan bila sudah melangkah, kena teruskan.
“ALLAH beri saya banyak nikmat hingga satu tahap saya tanya diri sendiri, apa yang saya beri kepada ALLAH. Apa tujuan hidup dan bila bermuhasabah, saya tekad untuk berhijrah.
“Saya bersyukur dengan apa yang dibuat sekarang (berbanding) dahulu. Saya sudah tinggalkan ia sebagai pengajaran, apa yang ‘best’ saya simpan sebagai kenangan kerana percaya ALLAH dah aturkan yang terbaik untuk saya,” ujarnya.