Home Rasuah Busters Penguat kuasa korup bahayakan negara

Penguat kuasa korup bahayakan negara

0
Penguat kuasa korup bahayakan negara

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Hamdan

SHAH ALAM – Anggota penguat kuasa perlu mengutamakan tugas demi kepentingan negara berbanding peribadi bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan rasuah dan menyasarkan warga asing untuk mengaut keuntungan mudah.

Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel berkata, anggota penguat kuasa juga diminta tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa kerana ia akan memberi kesan kepada ekosistem ekonomi negara.

“Tidak wajar perilaku mereka yang terlibat dengan rasuah, seolah-olah menangguk di air keruh. Jika ia berterusan negara akan berdepan dengan kelembapan ekonomi, sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

“Oleh itu, amalan rasuah ini perlu dihentikan bermula di peringkat akar umbi. Jangan ada lagi ketirisan yang akhirnya merugikan rakyat dan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kebanjiran warga asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengaut rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, tidak kira sama ada mereka ini mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi ‘kosong’ tanpa permit dan berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI), kumpulan ini sering menjadi sasaran penguat kuasa.

Tambah Hamdan, ada beberapa faktor menyebabkan segelintir anggota penguat kuasa masih melakukan rasuah walaupun mereka tahu akibat daripada perbuatan tersebut.

“Antara faktor itu adalah menerima tawaran yang menarik.

“Selain itu, tidak mempunyai jati diri dan terlalu mengikut hawa nafsu akhirnya membawa kerugian kepada diri sendiri dan keluarga,” jelas beliau.