Home Rasuah Busters Sektor ekonomi negara terjejas jika rasuah berleluasa

Sektor ekonomi negara terjejas jika rasuah berleluasa

0
Sektor ekonomi negara terjejas jika rasuah berleluasa

SHAH ALAM – Kegiatan rasuah menyebabkan sektor ekonomi dalam sesebuah negara terjejas dan tidak akan berkembang.

Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusoff berkata, ia berikutan berlakunya amalan ‘favouritisme’ dari aspek pemilihan projek oleh pihak-pihak tertentu.

“Sektor-sektor ekonomi tidak akan berkembang dan tidak ada kualiti kerana projek tidak diberikan kepada pihak yang terbaik tetapi sebaliknya.

“Rasuah kepada kontraktor dan majlis berkuasa tempatan pula menyebabkan bangunan diluluskan dalam keadaan tidak cukup syarat spesifikasi yang ditetapkan.

“Kemudian sudah tentu ia menyebabkan imej negara terjejas,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohammad Yaakub Yusra berkata, kesan tersebut mampu membahayakan nyawa orang ramai sekiranya tender projek diberikan kepada syarikat yang tidak berkebolehan.

“Kesan yang lebih berat, asbab pada rasuah ini banyak nyawa yang terkorban, bangunan yang rosak dan ekonomi merosot. Jadi rasuah harus dibanteras sebab ia akan jadi punca kepada pelbagai masalah besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohammad Yaakub Yusra berkata, sifat tamak dengan harta dunia dan pangkat turut menjadi punca kepada lahirnya budaya rasuah dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Menurutnya, banyak kes melibatkan rasuah dilaporkan dalam media terutama ketika pandemik Covid-19.

“Apabila difikirkan semula, memang (kes rasuah) akan naik sebab ekonomi jatuh dan orang mula terdesak nak cari duit.

“Bila sudah terdesak, maka mudah nafsu menguasai diri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here