TANGKAK – Sudah tiada perasaan segan dan malu menjadikan gejala rasuah semakin membarah dalam masyarakat.
Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Rasuah dan Integriti (Gerak 98) Terengganu, Wan Anies Wan Adnan berkata, kehilangan dua sifat terpuji tersebut membuatkan masyarakat mudah terlibat dengan amalan rasuah.
Katanya, setelah sekali dua terjebak dalam amalan jijik itu, ia membuatkan seseorang itu berasa seronok untuk melakukannya kerana memperoleh ‘wang tepi’ dengan mudah.
Menurutnya, tanpa memperdulikan kesan yang bakal menimpa, amalan buruk itu sudah dijadikan jalan mudah mendapatkan keuntungan bagi menampung perbelanjaan harian.
“Setelah terlibat beberapa kali dengan amalan buruk ini, individu tersebut seakan sudah terperangkap dengan jalan yang mereka pilih itu.
“Hati mungkin akan kata tidak mahu tetapi demi menampung perbelanjaan harian semakin meningkat dengan gaya hidup mewah, tangan mereka akan terus melakukan amalan jijik tersebut.
“Nasihat saya kepada mereka yang belum pernah atau tidak lagi terjebak dengan amalan jijik ini, janganlah sesekali untuk mencubanya kerana ia akan memerangkap anda dan membawa kehancuran sekiranya ditangkap pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di bandar Tangkak semasa Konvoi #RasuahBusters menyantuni masyarakat setempat di daerah itu.
Selain mengedarkan risalah antirasuah kepada orang ramai, pasukan Rasuah Busters bersama rakan gabungan turut menyampaikan mesej untuk memilih pemimpin yang bersih dan berintegriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Wan Anies berkata, masyarakat perlu sedar tentang bahaya besar sedang menanti mereka sekiranya terlibat dengan amalan rasuah.
Menurutnya, bukan sahaja bahana besar menanti mereka sekiranya tertangkap, malah ahli keluarga juga akan menerima tempias daripada perbuatan mereka.
Tegasnya, bukan sahaja bakal kehilangan kerjaya yang telah dibina sekian lama, malah mungkin akan meringkuk di dalam penjara dan memusnahkan kehidupan mereka selepas itu.
“Bagi umat Islam, mereka tahu perbuatan rasuah itu salah di sisi agama dan ia jelas haram.
“Begitu juga dengan agama-agama lain yang menolak amalan rasuah kerana ia akan memusnahkan kehidupan individu tersebut.
“Jadi janganlah sesekali untuk mencuba atau terlibat dengan amalan rasuah kerana kesannya amat besar, bukan sahaja pada diri sendiri tetapi kepada negara dan masyarakat,” katanya.