Home Rasuah Busters Sambut baik komitmen kerajaan laksana reformasi institusi

Sambut baik komitmen kerajaan laksana reformasi institusi

Sambut baik komitmen kerajaan laksana reformasi institusi

Nurhayati Nordin

SHAH ALAM – Rasuah Busters menyambut baik komitmen Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkaitan cadangan pelaksanaan reformasi institusi di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, perkara itu penting dilaksanakan demi kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan keadilan sosial rakyat Malaysia.

“Rasuah Busters percaya bahawa pembaharuan institusi yang telah dinyatakan dalam tuntutan-tuntutannya sebelum ini wajar dilaksanakan segera sebagai solusi kepada isu pengangguran, kemiskinan, pertindihan kuasa yang menjadi kegusaran rakyat.

“Kami juga mengharapkan agar kerajaan turut mengambil kira penglibatan dan suara masyarakat sivil yang berkeupayaan memberi input ke arah pelaksanaan reformasi-reformasi yang dicadangkan secara optima dan menyeluruh,” katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.

Nurhayati berkata demikian mengulas kenyataan Azalina pada Isnin yang menegaskan bahawa kerajaan bertekad melaksanakan langkah-langkah reformasi, terutamanya perubahan yang dilihat paling mudah dan cepat dilaksanakan atau ‘low hanging fruits’.

Menurut Azalina, antara perubahan yang diusahakan termasuk akta dana politik dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Katanya, jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dengan pengumuman dijangka dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Berhubung pemisahan kuasa antara Ketua Hakim Negara dan pendakwa raya pula, pihaknya akan meneliti isu berkenaan selepas satu tribunal siasatan khas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu itu diluluskan oleh kabinet.

Dalam pada itu menurut Nurhayati, selain memberi tumpuan kepada perkara berkenaan, pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga perlu diberi perhatian serius.

“Ini penting bagi memastikan keadilan kepada pemberi maklumat agar ketirisan di samping mengawal kemungkinan berlaku rasuah atau salah guna kuasa di peringkat lebih awal lagi.

“Sebagaimana pentingnya reformasi institusi ini dilaksanakan, reformasi-reformasi yang dicadangkan turut diharapkan menjadi mekanisme moral untuk melumpuhkan sudut pandang dan ideologi sesetengah pihak yang menganggap rasuah adalah suatu yang boleh dijustifikasi sehingga sanggup membenarkan perlakuan rasuah dan penyalahgunaan kuasa terus mengakar umbi dan membunuh generasi,” katanya.

Sebelum ini, pada Rabu, pasukan Rasuah Busters mengemukakan enam nota kepada kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak reformasi perundangan, institusi dan moral dilakukan dengan segera.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia melibatkan tuntutan pelaksanaan pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, segerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan keperluan akta pendanaan politik

Hussamuddin berkata, ia turut menuntut transformasi menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kebebasan badan kehakiman melalui pindaan Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009 dan pelaksanaan penuh Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dan reformasi nilai sebagai teras pembangunan negara.