Home Rasuah Busters RBTag lahirkan pemimpin bersih, berintegriti

RBTag lahirkan pemimpin bersih, berintegriti

0
RBTag lahirkan pemimpin bersih, berintegriti
Ujian psikometrik Rasuah Busters (RBTag) terbukti mempunyai pelbagai kelebihan bukan sahaja kepada diri malah berupaya membentuk sebuah negara yang stabil dan maju jaya. Gambar kecil: Rosmadi

SHAH ALAM – Ujian psikometrik Rasuah Busters (RBTag) terbukti mempunyai pelbagai kelebihan bukan sahaja kepada diri malah berupaya membentuk sebuah negara yang stabil dan maju jaya.

Felo Penasihat Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Rosmadi Ghazali berkata, misi RBTag adalah membawa Malaysia melangkah lebih maju tanpa rasuah.

Beliau yang juga Pengarah RBTag berkata, kumpulan pemimpin yang bakal menerajui negara pastinya sudah bersedia menghadapi cabaran sebagai pemimpin di peringkat tertinggi dan soalan RBTag yang diberikan merupakan situasi sebenar permasalahan rasuah dalam budaya masyarakat Malaysia.

Untuk itu menurutnya, calon pemimpin yang menjalani ujian RBTag sudah didedahkan dengan situasi semasa berhubung isu rasuah dan perbuatan yang boleh menjurus kepada penyalahgunaan kuasa sekiranya dipilih menjadi pemerintah.

“Negara memerlukan kumpulan pemerintah yang mempunyai tahap kejujuran tinggi, bertanggungjawab, beramanah serta memiliki integriti yang tinggi.

“Menerusi ujian RBTag ini, ia merupakan proses tambahan buat calon-calon parti politik yang bertanding untuk mengenal diri dan dapat mengetahui tahap kecenderungan dan kemampuan diri.

“Jika semua elemen baik dan buruk ini dapat dikenal pasti, maka kumpulan pemimpin ini dapat bermuhasabah diri, seterusnya mengadakan intervensi pembangunan diri untuk menjadi seorang pemimpin yang lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Rosmadi berkata, menerusi ujian RBTag, pengundi atau pemilih akan dapat menilai sejauh mana kesungguhan seseorang pemimpin atau calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam membawa Malaysia ke mercu kejayaan.

Katanya, sekiranya pemimpin yang bersih dan ikhlas menerajui negara, mereka bersedia untuk menjalani apa sahaja ujian bagi membuktikan mereka benar-benar jujur serta tidak mempunyai kepentingan peribadi.

Jelasnya, kesediaan mengambil ujian psikometrik RBTag merupakan satu komitmen dan kesungguhan calon dalam memerangi budaya rasuah di negara ini.

“Mereka ini adalah golongan pemimpin yang berani menyahut cabaran, sekali gus membuktikan mereka bebas daripada rasuah dan mempunyai integriti untuk diangkat sebagai golongan pemimpin negara.

“Malah dengan kemahuan mengambil ujian RBTag, orang ramai akan lebih berkeyakinan dapat melihat calon-calon memberi sokongan penuh terhadap usaha membebaskan negara daripada budaya rasuah serta penyalahgunaan kuasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here