Home Rasuah Busters RBTag bukan perangkap, proses kenal diri

RBTag bukan perangkap, proses kenal diri

0
RBTag bukan perangkap, proses kenal diri

SHAH ALAM – Ujian sistem psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) yang bertujuan mengukur tahap integriti bukan satu perangkap sebaliknya satu proses mengetahui kelemahan dan kelebihan diri secara lebih mendalam.

Felo Penasihat Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Rosmadi Ghazali berkata, menerusi ujian tersebut, individu dapat melihat secara jelas kelebihan serta kekurangan diri terutama melibatkan isu integriti.

Malah katanya, hasil keputusan ujian yang merupakan rahsia antara individu dan pihak pengurusan RBTag boleh digunakan sebagai pemangkin diri untuk menjadi insan lebih baik.

“Ujian RBTag ini bukan satu perangkap kepada mana-mana individu yang berasa takut untuk dirinya dikategorikan sebagai pesalah atau terlibat dengan amalan rasuah. Ini adalah persepsi yang salah.

“Sebaliknya ia adalah pengukur diri terbaik buat individu untuk menilai diri sendiri, seterusnya boleh dijadikan nilai tambah terutamanya kepada mana-mana calon yang bertanding pada pilihan raya negeri atau pilihan raya umum akan datang.

“Apa yang penting, ujian ini dijalankan secara profesional dan keputusan ujian adalah rahsia malah tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi ujian RBTag melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan petugas media di Kompleks Media Karangkraf, dekat sini.

Mengulas lanjut, Rosmadi berkata, ujian RBTag yang dilakukan secara dalam talian merupakan soalan secara rawak melibatkan 50 hingga 100 soalan melibatkan norma-norma budaya bangsa Malaysia.

Menurutnya, meskipun dibuat secara dalam talian, namun ujian tersebut tetap diadakan di dalam lab atau makmal ujian yang telah ditentukan oleh pihak pengurusan RBTag.

Tegasnya, penetapan dilakukan di dalam makmal tertentu adalah bertujuan memastikan tidak berlakunya sebarang penipuan semasa ujian berlangsung.

Jelasnya lagi, selain menjaga kredibiliti ujian, ketetapan tersebut dilaksanakan bagi membolehkan pihak pengurusan memastikan kesahihan individu yang mengambil ujian.

“Sebelum ujian dimulakan, petugas RBTag akan melakukan semakan ke atas pengenalan diri calon yang mengambil ujian.

“Setelah maklumat diri sepadanan dengan calon yang mengambil ujian, maka individu tersebut baru dibenarkan mengambil ujian secara dalam talian.

“Tempoh ujian adalah singkat dan mudah dilakukan oleh mana-mana individu sekali pun, selain ujian ini adalah percuma,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-61786093 atau 012-7869261 dan menghantarkan email ke rbtag.mccf@gmail.com bagi pertanyaan dan pendaftaran.

Kepada yang berminat boleh melayari www.rbtagmy.com atau http://rbtagmy.com/supportRasuahBusters.php untuk maklumat lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here