Home Rasuah Busters Rasuah umpama najis dadah: Rara

Rasuah umpama najis dadah: Rara

0
Rasuah umpama najis dadah: Rara
Young Syefura Othman

SHAH ALAM – Rasuah adalah musuh nombor satu negara dan kejijikan perbuatan tidak bermaruah itu seumpama najis dadah yang pernah dilabelkan sebagai musuh utama negara suatu ketika dahulu.

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman yang menyifatkan kejelikan rasuah perlu dipandang berat oleh ahli politik dan barisan kepimpinan kerana mereka adalah tonggak peneraju negara ke arah kecemerlangan.

Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan yang lebih dikenali sebagai Rara berkata, kumpulan pemimpin tertinggi negara seharusnya menerima hakikat bahawa rasuah adalah musuh nombor satu negara yang perlu diperangi sepenuhnya.

Menurutnya, ahli politik dan barisan pemimpin seharusnya menjadi individu paling hadapan bagi memperjuangkan isu rasuah agar tidak terus membarah di dalam masyarakat.

Meskipun begitu katanya, usaha memerangi rasuah bukan terletak di bahu ahli politik dan pemimpin tertinggi sahaja, sebaliknya semua pihak bertanggungjawab melaksanakan tugas masing-masing menghentikan budaya rasuah.

“Usaha memerangi rasuah bukan bergantung kepada orang politik semata-mata tetapi melibatkan kakitangan kerajaan, pihak swasta dan semua pemain industri.

“Semua pihak perlu bertindak dan mempunyai peranan penting untuk dilaksanakan kerana rasuah bukan sahaja merosakkan negara, malah merosakkan hubungan insan serta meruntuhkan semua institusi di negara ini,” katanya kepada kru Rasuah Busters.

Ditanya mengenai titah Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai budaya rasuah di negara ini, Rara berkata, beliau sangat mengagumi dan berasa sangat bersyukur kerana rakyat Malaysia mempunyai sultan yang begitu mengambil berat terhadap isu rasuah.

Katanya, Sultan Nazrin seringkali mengeluarkan titah-titah berani demi kebajikan rakyat termasuk kepentingan memerangi isu rasuah, membanteras gejala tidak sihat, menginginkan sebuah kerajaan yang bersih dan amanah.

Jelasnya, ketegasan Sultan Nazrin di dalam perkara penting seumpama itu merupakan tindakan wajar yang rakyat mahukan daripada seorang pemerintah adil dan dihormati.

“Saya sangat berharap agar semua pemerintah lain juga boleh bersama-sama dengan Sultan Nazrin untuk memerangi rasuah sepenuhnya di seluruh lapisan masyarakat.

“Ia adalah tanggungjawab yang mereka perlu laksanakan. Kita sebagai rakyat akan sentiasa mendokong dan bersama dengan Tuanku untuk melawan isu-isu yang boleh merosakkan negara dan masyarakat.

“Gesaan Sultan Nazrin merupakan saranan yang baik untuk negara dan masyarakat, maka perkara seumpama inilah yang perlu kita dengar dan patuh, bersama laksanakan apa yang dititahkan baginda,” katanya.

Tambahnya, isu ketirisan berlaku bukan daripada pihak politik semata-mata, tetapi berlaku juga dalam agensi kerajaan, setiap industri, institusi-institusi pendidikan serta pusat kesihatan negara.

Malah menurutnya, tidak dapat dinafikan bahawa semua peringkat berhadapan masalah yang sama iaitu melibatkan isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita perlu mengakuinya kerana ia sememangnya berlaku, tetapi dalam masa yang sama kita harus mencari jalan penyelesaian.

“Kalau tidak boleh diselesaikan secara terus, berusaha mengurangkannya sikit demi sedikit. Lama-lama ia akan membuahkan hasil yang kita mahukan untuk melihat isu rasuah dibenci oleh seluruh masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here