Home Rasuah Busters Enam kunci usaha kerajaan banteras rasuah

Enam kunci usaha kerajaan banteras rasuah

0
Enam kunci usaha kerajaan banteras rasuah
Tricia Yeoh

SHAH ALAM – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan pengumuman kerajaan berhubung pembaharuan enam mekanisme penting mengenai antirasuah dan seruan pendanaan awam dimasukkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai komitmen kerajaan menerima pakai beberapa cadangan daripada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR).

Menurutnya, pengumuman pembaharuan pertama mengenai pengisytiharan harta untuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan anggota badan kehakiman, seterusnya diikuti dengan penambah baik amalan pengisytiharan harta sedia ada oleh ahli-ahli Parlimen, senator dan anggota pentadbiran dengan satu kod etika baharu khusus untuk ahli Parlimen.

Tricia berkata, pembaharuan ketiga melibatkan status RUU Pendanaan Politik yang dikemaskini dan RUU tersebut akan dikawal selia oleh satu badan bebas dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik.

“Pengumuman kerajaan untuk menambah beberapa langkah baharu bagi meningkatkan integriti, ketelusan serta tadbir urus baik dalam pentadbiran khususnya pindaan terhadap Akta Audit 1957 bagi memperkasa Jabatan Audit Negara adalah langkah tepat.

“Malah penilaian semula terhadap peranan dan pendanaan tetap kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) agar dapat menjalankan peranannya yang baharu merupakan tindakan yang sangat wajar,” katanya dalam satu kenyataan kepada kru Rasuah Busters.

Mengulas lanjut, Tricia berkata, usaha kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa baharu memantau hal ehwal pihak berkuasa tempatan mengenai permintaan pemindahan, mengurangkan rasuah serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan merupakan satu pemerkasaan yang dilihat sangat penting dilaksanakan.

Jelasnya, IDEAS mengalu-alukan pengumuman langkah-langkah penting yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan, sekali gus menunjukkan agenda tadbir urus menjadi keutamaan pihak kerajaan kerana enam cadangan ini merupakan kunci kepada usaha membanteras rasuah.

Katanya, langkah meluaskan pengisytiharan harta untuk memasukkan lebih ramai individu penjawat awam serta syarikat berkaitan kerajaan merupakan satu langkah tepat ke arah mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi-institusi negara.

Tambahnya, beberapa penambahbaikan boleh terus dilaksanakan oleh kerajaan dan sebagai contoh menjadikan maklumat pengisytiharan harta boleh dicapai oleh orang awam serta meluaskan skop pengisytiharan kepada ahli keluarga terdekat seperti pasangan dan anak-anak supaya memudahkan mengenal pasti potensi konflik kepentingan dengan lebih baik.

“IDEAS turut menyambut baik cadangan menubuhkan sebuah badan kawal selia pendanaan politik yang bebas, selaras dengan RUU Persendirian mengenai Pendanaan Politik yang dikemukakan oleh Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah, Ahmad Fadhli Shaari mengenai Pendanaan Politik ke Parlimen pada 13 Julai lalu.

“Kami harap beberapa peruntukan untuk suruhanjaya bebas dalam RUU ini dapat dimasukkan ke dalam draf RUU kerajaan, sekali gus memperkasakan usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here