Home Rasuah Busters Rasuah umpama kanser, sukar dirawat tetapi boleh disembuhkan

Rasuah umpama kanser, sukar dirawat tetapi boleh disembuhkan

0
Rasuah umpama kanser, sukar dirawat tetapi boleh disembuhkan

SEREMBAN – Sikap suka memberi dan meminta rasuah perlu dihentikan segera bagi memastikan generasi akan datang dapat menjalani kehidupan di alam pekerjaan dengan lebih sempurna.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Negeri Sembilan, Mohd Badrul Azhar Zulkapli berkata, jika perbuatan tersebut tidak dihentikan, dikhuatiri ia akan merosakkan akhlak sekali gus akan melahirkan pegawai yang tidak amanah.

Menurut beliau, apabila wujud pegawai yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas, ia pasti memberi kesan buruk kepada organisasi tersebut.

“Jika amalan ini dibiarkan, selain ia memusnahkan sesebuah organisasi, pentadbiran negara juga terjejas.

“Apabila ada pegawai yang tidak jujur dalam melaksanakan tugas, pentadbiran negara menjadi lemah, maka tercetusnya huru-hara dalam urusan kerja mereka.

“Situasi kerja sebegini perlu dielakkan bagi memastikan generasi pemimpin dan pegawai yang lebih amanah serta berintegriti dalam melaksanakan tugas,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambahnya, perasaan takut untuk meminta dan menerima rasuah perlu diterapkan dalam jiwa semua pegawai dan pemimpin di setiap pentadbiran organisasi.

Katanya, perbuatan terkutuk itu boleh dicegah jika seseorang itu mempunyai iman yang kuat, serta takut kepada hukuman yang diterima jika melakukan rasuah.

“Rasuah ini ibarat penyakit kanser, sukar untuk dirawat tetapi tidak mustahil untuk disembuhkan. Jika ada azam dan usaha pasti kita dapat mendidik masyarakat untuk menolak rasuah.

“Sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk kita membasmi rasuah habis-habisan, memang betul bukan mudah tetapi kalau kita dapat tingkatkan kesedaran masyarakat betapa jijiknya memberi dan menerima rasuah itu, kita pasti akan berjaya,” katanya.

Kata Mohd Badrul, bagi memastikan generasi akan datang bersih dan bebas rasuah, pelaksanaan membanteras aktiviti ini perlu dilakukan dari sekarang.

“Kita berharap peranan media seperti akhbar Sinar Harian dalam membantu pihak berkuasa membanteras rasuah dapat dilakukan secara berterusan, sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat bahayanya amalan rasuah ini,” katanya.

Kempen #RasuahBusters adalah gelombang gerakan oleh rakyat demi rakyat untuk menghapuskan budaya memberi dan menerima rasuah serta sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dalam ekosistem di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here