Home Rasuah Busters Rasuah punca perpecahan kaum

Rasuah punca perpecahan kaum

0
Rasuah punca perpecahan kaum

GEJALA rasuah yang dilihat sudah menjadi kebiasaan sejak dahulu menjadi punca utama kepada perpecahan kaum di negara ini, kata Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Justeru, katanya, media perlu memainkan peranan dalam menghapuskan gejala tersebut dan mengembalikan semula perpaduan masyarakat.

Beliau berkata, gerakan Rasuah Busters yang diketengahkan adalah untuk menyedarkan rakyat bahawa rasuah telah mendatangkan kesan buruk kepada negara.

“Saya membesar dengan persekitaran yang berbilang kaum. Apabila saya ke Kuala Lumpur, hubungan antara kaum dan agama makin jauh. Dulu kita tiada masalah kaum. Tetapi sepanjang 40 hingga 50 tahun lepas, masyarakat sudah tidak percaya antara satu sama lain kerana orang politik sudah hancurkan negara.

“Mereka mainkan sentimen ini menyebabkan kita sudah rasa jauh antara satu sama lain. Kita lihat hasilnya negara makin teruk, ekonomi juga. Malahan orang atasan semakin rakus,” katanya semasa Mesyuarat Sinergi Media Tamil Bersama Rasuah Busters di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Bagi menangani masalah itu, Hussamuddin berkata, semua media perlu memainkan peranan dengan menjadi gelombang terbesar untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Menurutnya, jika media memainkan peranan penting dalam menangani gejala rasuah, usaha tersebut akan membuahkan hasil.

“Kalau semua media bergabung, pasti berjaya sebab suara media kuat. Perlu terbitkan selalu bahawa tidak boleh rasuah, takutkan mereka akibat rasuah. Saya rasa, lima hingga 10 tahun akan pulih.

“Kita kena gunakan media sebagai gelombang besar untuk tangani rasuah. Sebelum ini banyak kempen dijalankan kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan namun gagal kerana ia tidak berlanjutan dan sambutan secara kecil-kecilan sahaja,” kata beliau.

Tambah beliau, melalui kempen besar-besaran dapat menyedarkan semua rakyat Malaysia tidak mengira bangsa mahupun agama dan mengembalikan nilai moral bangsa.

Sementara itu, pengamal media, Dr G Manimaran berkata, penglibatan masyarakat juga memainkan peranan penting dan tidak berharap kepada jawatankuasa pusat sahaja.

“Kita perlu melibatkan semua peringkat masyarakat. Ini tidak boleh dilakukan jawatankuasa pusat sahaja. Saya selaku ahli pasukan pergerakan ini sedang usahakan pertemuan dengan wakil masyarakat India.

“Kami telah membincangkan bagaimana media Tamil mainkan peranan dan beri komitmen dalam membantu bersama memberikan mesej ke setiap peringkat penjuru wilayah di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here