Home Rasuah Busters Rasuah punca penerokaan haram terus berleluasa

Rasuah punca penerokaan haram terus berleluasa

0
Rasuah punca penerokaan haram terus berleluasa
Penerokaan tanah dan hutan yang masih berterusan didakwa berpunca daripada wujudnya unsur rasuah yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.(Gambar hiasan) – Foto 123rf

SHAH ALAM – Penerokaan tanah dan hutan yang masih berterusan didakwa berpunca daripada wujudnya unsur rasuah yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Penasihat Pertubuhan Generasi Peduli Sampah Malaysia (GPS), Mohd Faizal Abdul Rani berkata, apa yang menjadi tanda tanya, adakah aktiviti yang berkemungkinan tidak sah itu dalam pengetahuan pihak berkuasa ataupun sengaja dilindungi kerana mempunyai kepentingan peribadi.

Menurutnya, sekiranya ia berlarutan dan pihak berkuasa berdiam diri, keadaan itu akan memberi kesan kepada alam sekitar sama ada dalam jangka pendek, sederhana mahupun panjang.

“Mungkin ada unsur rasuah. Bila ada kes, senang sahaja tutup malah ada yang menjadi orang tengah memberitahu sebarang tindak-tanduk pihak berkuasa bagi memastikan mereka terlibat tidak ditangkap.

“Susah apabila melibatkan rasuah. Manusia yang terlibat dengan amalan tersebut tidak boleh dikawal selagi individu itu sendiri masih menerima dan meminta,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai masyarakat Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan yang hidup dalam kebimbangan susulan aktiviti pertanian dan penerokaan tanah ketika musim tengkujuh di kawasan itu.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berharap, pemantauan dijalankan oleh pihak berwajib berhubung aktiviti yang berisiko mendatangkan ancaman kejadian bencana di tempat tinggal mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata, kerajaan negeri atau Persekutuan perlu meneliti setiap projek yang diluluskan bagi mengekalkan kelestarian dalam pelan pembangunan negara.

“Tidak salah pembangunan dibuat tetapi perlu mengambil kira kesan kepada alam sekitar dan langkah yang diambil bagi mengutamakan kelestarian dalam agenda pembangunan di sesuatu tempat.

“Penerokaan dan pembangunan yang tidak terkawal akan memberi kesan negatif kepada penduduk setempat dan tempat tadahan hujan selain mencemarkan alam sekitar seperti pencemaran sungai,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here