Home Rasuah Busters Rasuah jejas peluang niaga usahawan PKS

Rasuah jejas peluang niaga usahawan PKS

0
Rasuah jejas peluang niaga usahawan PKS

SHAH ALAM – Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) bimbang perbuatan rasuah akan menjejaskan peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Presidennya, Datuk Muzamir Mustafa berkata, modal perniagaan golongan PKS yang lebih kecil berbanding syarikat gergasi menyebabkan mereka tidak mampu bersaing dalam dunia perniagaan.

Menurutnya, dalam konteks ini, rasuah boleh berlaku disebabkan ketamakan golongan tertentu untuk memonopoli bidang perniagaan masing-masing atas dasar kepentingan peribadi.

“Jika dahulu semua tender kerajaan atau projek penswastaan, pemilihan adalah berdasarkan keupayaan sesebuah syarikat berdasarkan pengalaman, kewangan dan rekod kejayaan, berbeza dengan sekarang yang lebih terarah kepada siapa menawarkan imbuhan paling lumayan.

“Selain itu, jika pelabur asing tidak berminat untuk melabur di negara kita atau menarik keluar pelaburan mereka disebabkan sering berlaku rasuah, sudah pasti yang terkesan ialah usahawan PKS.

Secara tidak langsung, ini menidakkan peluang untuk mereka menawarkan kepakaran yang ada.

“Golongan ini tidak akan dapat bersaing secara sihat malah, situasi tersebut akan menyebabkan idea dan bidang kepakaran mereka tidak dapat diterokai secara menyeluruh,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muzamir memberitahu, tidak mustahil amalan memberi dan menerima rasuah jika tidak dibendung boleh merosakkan sistem dan pentadbiran negara.

Tegas beliau, tiada kesedaran integriti dalam diri individu yang memegang amanah dan tanggungjawab menyebabkan pelaku sewenang-wenangnya menggunakan rasuah sebagai jalan mudah.

“Perasuah juga akan merosakkan kepercayaan awam dan menyerlahkan ketidaksamaan.

“Negara akan runtuh disebabkan perlakuan mereka, kedaulatan dan maruah akan terhapus serta terjual, maka negara akan dijajah sekali lagi,” ujarnya.

Ditanya mengenai kempen Rasuah Busters yang digerakkan oleh Sinar Harian, beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa gerakan itu mampu bertindak sebagai satu badan pendesak untuk menekan kerajaan berhubung isu rasuah secara lebih komprehensif.

“Kempen itu merupakan usaha murni rakan-rakan gabungan yang sayang akan Malaysia dan dalam masa sama ingin membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala tersebut.

“Tiada jalan lain selain menjadikan Rasuah Busters sebagai satu badan pendesak bagi rakyat Malaysia menekan kerajaan untuk menjadikan misi antirasuah ini berjaya.

“Kempen ini turut berkesan dalam memberi kesedaran kepada pelbagai pihak khususnya generasi muda untuk menjauhi dan seterusnya membenci rasuah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here