SHAH ALAM – Perikatan Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) berpandangan rasuah kini berada pada tahap kritikal seolah-olah amalan itu telah diinstitusikan dan menjadi prosedur operasi standard (SOP) harian masyarakat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, ia terbukti apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 menunjukkan Malaysia merosot ke kedudukan 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding di tangga 57 pada tahun 2020.
Menurut beliau, rasuah sudah lama berakar umbi terutama dalam kalangan individu yang berkuasa atas nama politik wang.
“Alasan politik wang membenarkan apa sahaja yang berkaitan (rasuah) dilakukan seperti salah guna proses tender atau berunding secara terus hingga perbuatan tersebut menjadi norma, bukan lagi pengecualian.
“Kerana tidak adanya akta yang mengehadkan penggunaan politik wang oleh politikus, maka penyalahgunaannya semakin berleluasa dan tidak terkawal.
“Apabila pintu rasuah dibuka seluas-luasnya, maka yang lain akan ikut (melakukan rasuah) termasuklah penjawat awam, penguat kuasa, golongan korporat, malah insan ‘kecil’ pun akan turut sama dan akhirnya mengukuhkan budaya ini.
“Mana-mana pihak yang enggan mengikut atau menentang budaya tersebut akan dianggap melawan norma baharu ini,” tegas beliau kepada kru Rasuah Busters pada Sabtu.
Mohd Jamaludin berkata, rasuah adalah contoh amalan tidak baik serta sering kali dilakukan oleh golongan yang mempunyai kuasa dan berpengaruh besar seperti pemimpin politik.
Jelas beliau, ramai pemimpin yang kaya-raya dan terpaksa menyembunyikan kekayaan sehingga orang awam sendiri tidak dapat membayangkan berapa nilai sebenar harta mereka.
Tambahnya, apabila pemimpin berperangai sedemikian, kemungkinan besar rakyat cenderung untuk mengikut jejak langkah mereka di mana fenomena itu juga pernah disebut dalam hadis.
“Institusi semak imbang dan kuat kuasa tidak bebas serta amalan pilih kasih kerana dikuasai orang politik.
Lantikan ketua-ketuanya pula di tangan individu yang ada banyak kepentingan politik.
“Tender runding terus yang tidak terkawal sejak pertengahan tahun 80-an hingga kini menjadikan pengagihan projek-projek kerajaan berjalan secara sesuka hati tanpa proses tender terbuka yang telus.
“Ia mengakibatkan orang yang tidak sepatutnya akan mendapat kontrak, harga sangat tinggi tetapi kualiti projek rendah. Konsep rent seeking atau membuat duit atas angin adalah praktik yang dominan dewasa ini,” katanya.