Home Rasuah Busters Rasuah: Beri tumpuan pada ‘jerung’ berbanding 'bilis'

Rasuah: Beri tumpuan pada ‘jerung’ berbanding 'bilis'

0
Rasuah: Beri tumpuan pada ‘jerung’ berbanding 'bilis'
Gambar hiasan – Foto 123RF

SHAH ALAM – Kerajaan perlu memerangi gejala rasuah di semua peringkat termasuk menyasarkan kepada golongan ‘jerung’ rasuah di negara ini.

Naib Presiden 1 Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi, Mohamad Rais Abu Noh berkata, tindakan tersebut penting berikutan kumpulan itu memberi impak lebih besar berbanding kategori ‘bilis’ yang terlibat dalam gejala rasuah.

“Yang utama sekali kita kena tangkap adalah orang-orang yang berada di (kepimpinan) atas, jerung-jerung yang besar itu sebab kesan (kegiatan rasuah yang dilakukan) mereka itu terlalu memudaratkan.

“Jadi, yang mendapat kekayaan ini adalah orang yang ada di atas, berbilion-bilion ringgit.

“Alhamdulillah dengan kerajaan baharu yang kita ada sekarang ini, saya nampak kerajaan pun dah mula ambil tindakan termasuk terhadap mereka yang terlibat dalam kes (pendedahan) ‘pandora papers’ ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

‘Pandora papers’ ialah dokumen yang mendedahkan kekayaan disembunyikan di luar negeri, sindiket pengecualian cukai dan aktiviti mencuci duit dalam kalangan orang kaya serta berpengaruh di dunia.

Ujar Mohamad Rais, sebelum ini tidak ada sebarang tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat dalam kes berkenaan, menyebabkan ‘jerung-jerung’ tersebut masih bebas berkeliaran.

“Sudah tentu kita tidak tahu hal yang sebenar selagi mana kita tidak selidik atau siasat sama ada mereka bersalah atau tidak tetapi yang pentingnya tindakan itu harus diambil.

“Sekurang-kurangnya kerajaan sekarang ini, kita sudah nampak usaha mereka untuk menangani masalah gejala rasuah ini dan menyiasat sama ada apa yang diperkatakan dalam kes ‘pandora papers’ itu benar atau tidak,” ujarnya.

Dalam pada itu menurutnya, langkah yang terbaik dalam menangani budaya rasuah di negara ini adalah melalui pendidikan di peringkat sekolah.

“Seperti kami dalam persatuan silat pun, dari awal lagi apabila seseorang penuntut itu menjadi ahli, kita dah terapkan nilai-nilai tauhid.

“Dalam Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi ini kita lebih titik beratkan nilai tauhid di mana salah satunya ialah menerapkan sifat beramanah dan bertanggungjawab,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here