Home Rasuah Busters Perkasakan unit integriti agensi kerajaan

Perkasakan unit integriti agensi kerajaan

0
Perkasakan unit integriti agensi kerajaan
Wan Azliana (gambar kiri) berkata, cadangan menempatkan pegawai SPRM akan mengganggu tugas hakiki badan penguat kuasa itu.

SHAH ALAM – Kerajaan digesa memperkasakan unit integriti di setiap agensi bagi mengelakkan salah guna kuasa.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata, cadangan menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah satu tindakan yang akan mengganggu tugas hakiki badan penguat kuasa itu.

“Setiap agensi dan jabatan kerajaan perlu melaksanakan program anti rasuah agar dapat meningkatkan kesedaran setiap anggota mereka.

“Kebanyakan agensi sudah mempunyai unit integriti sendiri dan tiada keperluan untuk tempatkan pegawai SPRM,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, Mara berhasrat untuk menempatkan pegawai SPRM di agensi itu dalam memastikan urus tadbirnya berada di tahap terbaik.

Mengulas lanjut, Wan Azliana berkata, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan kerana tugas pegawai SPRM sudah diperuntukkan di bawah Seksyen 7 Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Justeru, menurut beliau, sudah menjadi tanggungjawab setiap agensi kerajaan memastikan tadbir urus mereka telus daripada rasuah.

“Kesedaran penguatkuasaan setiap agensi itu penting bagi memastikan mereka menjalankan amanah dengan baik agar rakyat dapat menilai prestasi kerja setiap agensi kerajaan.

“Unit integriti setiap agensi sepatutnya diperkasakan dan ditambah baik sekiranya kerajaan serius mahu membendung masalah ini dan bukan sekadar retorik sahaja.

“Lantikan politik bukan bermakna rasuah, tetapi ia boleh menjadi salah guna kuasa sehingga menjejaskan reputasi Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini lantang berkempen untuk menghapuskan rasuah,” tegas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here