SHAH ALAM – Ahli politik diingatkan menunaikan janji dilontarkan sepanjang kempen pilihan raya dan bukannya sembunyi tangan setelah mencapai matlamat menduduki kerusi idaman.
Pemerhati dan aktivis politik, Liyana Marzuki berkata, perkara tersebut sering menjadi buah mulut rakyat yang berasakan diri mereka ‘dikhianati’ apabila pemimpin yang dipilih seakan lupa dengan apa yang diucapkan sebelum pilihan raya.
Oleh sebab itu katanya, pengundi sudah mula nampak warna sebenar parti politik serta pemain politik itu sendiri ekoran pelbagai pergolakan dan penafian manifesto berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurutnya, pengundi sudah merasai dan dapat menilai empat buah kerajaan iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) yang memegang tampuk pemerintahan negara.
“Rakyat sudah nampak pemimpin politik sebagai ‘political animal’ iaitu mereka yang gemar menabur janji untuk berkuasa. Malah orang ramai juga dapat melihat bagaimana gabungan atau pakatan politik akan melontarkan janji bagi membolehkan mereka mendapat undi.
“Tetapi semua itu seakan tidak bermakna apabila sudah berkuasa, janji tersebut tidak dikotakan. Saya rasa, perkara itu sudah ramai yang nampak.
“Kita sebagai pengundi kena faham bahawa mantera orang politik ini ada dua iaitu matlamat menghalalkan cara. Dengan apa-apa pun kena capai matlamat dan matlamat itu adalah berkuasa.
“Mantera politik kedua adalah tiada istilah musuh atau kawan yang kekal. Bagi mencapai matlamat untuk berkuasa, mereka terpaksa mengeluarkan kata-kata untuk meyakinkan pengundi-pengundi bagi membolehkan mereka berkuasa,” katanya.
**media[1979412]**
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘Cakap Serupa Bikin’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat. Rancangan itu dihoskan oleh Sam Ghani.
Liyana berkata, selain kebanyakan ahli politik suka ‘berjanji kosong’, tidak kurang juga pelbagai penafian dilakukan oleh parti-parti politik berhubung penglibatan ahlinya di dalam isu-isu sensasi dan melakukan pelbagai perubahan dalam sistem pentadbiran negara.
Katanya, kalau dahulu semasa BN memerintah, dikatakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu sebagai fitnah, selain bertindak menukar Peguam Negara serta Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelbagai perkara disembunyikan.
Namun begitu menurutnya, selepas BN tumbang dan parti lain berkuasa, seorang pemimpin tertinggi negara didapati bersalah berhubung kes SRC International Sdn Bhd dan dikenakan hukuman penjara.
Jelasnya, perkara seperti itu membuka mata rakyat bahawa penafian parti politik berhubung beberapa perkara bukan fitnah dan ia benar-benar berlaku.
Selain itu katanya, janji-janji kosong turut dilakukan oleh parti-parti pembangkang setelah berjaya menaiki takhta sebagai kerajaan baharu.
Katanya, sebelum bergelar kerajaan, pelbagai janji diberikan dan mengatakan boleh buat lebih baik daripada kerajaan sebelumnya, malah sering menyatakan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan terdahulu adalah salah.
“Tetapi apabila mereka naik memerintah, orang ramai sudah boleh melihat diri mereka yang sebenar. Apa yang dijanjikan dahulu gagal dilaksanakan, malah kerajaan baharu itu juga tidak boleh deliver (melaksanakan).
“Oleh sebab itu, rakyat mula sedar yang mereka (kerajaan baharu) juga sama dengan kerajaan terdahulu.
“Pemain-pemain politik dilihat terpaksa menguar-uarkan janji politik masing-masing sekadar untuk berkuasa,” katanya.