Home Rasuah Busters ‘Penyakit otak’ seperti ketagihan dadah

‘Penyakit otak’ seperti ketagihan dadah

0
‘Penyakit otak’ seperti ketagihan dadah

KUALA TERENGGANU – Jenayah rasuah diumpamakan suatu ‘penyakit otak’ kronik yang boleh berulang kerana pelaku kembali gian selepas mula merasa ‘nikmat’ hasil rasuah.

Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Rusmizal Ibrahim berpendapat, situasi itu sama seperti jenayah penagihan dadah (chronic relapsing brain disease).

“Jika dulu, kita biasa mendengar jenayah rasuah dilakukan oleh golongan tertentu seperti individu atau pihak yang berjawatan, mengikut bangsa dan ekonominya sahaja, namun kini budaya itu sudah berubah.

“Semua orang yang ada ruang dan peluang untuk melakukan jenayah itu dan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk terlibat dengan rasuah.

“Ia berlaku disebabkan nilai integriti diperjudikan kerana kesempitan hidup atau terpengaruh dengan gaya hidup mewah sedangkan ia tidak mampu dikecapi dengan pendapatan biasa,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Rusmizal turut berpendapat, jenayah rasuah sememangnya meninggalkan implikasi terhadap pelbagai pihak kerana kuasa yang diberikan kepada individu yang mempunyai kuasa telah disalahgunakan.

“Oleh itu, tindakan keras harus diambil kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Tindakan yang lebih keras harus diambil bagi menangani permasalahan ini.

“Semua pihak harus memainkan peranan tidak kira masyarakat ataupun penjawat awam.

“Saya turut mengharapkan pihak berwajib mendedahkan berkait kesalahan rasuah di media sosial agar masyarakat sedar sebenarnya jenayah itu sekiranya dibiarkan akan memberi kesan buruk kepada negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here