Home Rasuah Busters Pengurusan atasan main peranan tingkat ketelusan, integriti organisasi

Pengurusan atasan main peranan tingkat ketelusan, integriti organisasi

0
Pengurusan atasan main peranan tingkat ketelusan, integriti organisasi

SHAH ALAM – Pengurusan atasan memainkan peranan penting meningkatkan kesedaran mengenai ketelusan dan integriti dalam organisasi komersial.

Ketua Jabatan Integriti Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Dr Rozaidi Abdul Rahim Razali berkata, peranan berkenaan merangkumi amalan memastikan tahap integriti dan etika yang tertinggi, mematuhi rejim anti-rasuah dan menguruskan risiko utama korupsi dalam organisasi dengan berkesan.

“Di Prolintas, kami mendapat sokongan sepenuhnya daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan hingga Lembaga Pengarah.

“Kami telah memperkenalkan Kod Etika dan Tingkah Laku Perniagaan (CoBE) sebagai sebahagian daripada inisiatif kami dalam mempromosikan perniagaan yang bebas daripada korupsi dan rasuah.

“Kod ini memfokuskan masalah utama dan mengenal pasti dasar, prosedur dan sumber yang relevan untuk menjalankan perniagaan selaras dengan piawaian Prolintas,” katanya.

Selain itu, Rozaidi berkata, Prolintas turut memperkenalkan Supplier Code of Conduct (S-COC), No Gift Policy, Anti-Bribery and Corruption Policy, Due Diligence Policy, Declaration of Interest, Whistleblowing Policy dan Integrity Pact sebagai usaha mengukuhkan standard tingkah laku, integriti dan kepatuhan dalam organisasi.

“Ia berfungsi sebagai perjanjian antara Prolintas dan vendor, kontraktor dan perundingnya dalam mempromosikan operasi bersih dan ketelusan yang lebih besar.

“Semua inisiatif ini membantu pekerja, pelanggan, vendor dan rakan perniagaan syarikat untuk memahami nilai kejujuran, integriti serta ketelusan Prolintas yang lebih baik dan banyak usaha dilaksanakan bagi mencegah rasuah,” katanya.

Menurutnya langkah itu sesuai dengan visi yang diketengahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah iaitu ‘Nilai bersama kami adalah asas untuk usaha yang kami lakukan’.

Dalam pada itu, beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh menangani punca rasuah yang semakin merebak dalam negara secara bersendirian.

Jelasnya, sokongan daripada penggerak seperti kempen Rasuah Busters dan pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi serta masyarakat dapat membantu dalam usaha itu.

“Bagi saya platform Rasuah Busters disarankan untuk sokong aktiviti perangi rasuah kerana memerlukan pemula yang kuat sebagai hebahan media untuk diterapkan kepada masyarakat.

“Rasuah berlaku kerana ada yang memberi dan menerima. Kita kena ada mekanisme membabitkan aspek kawalan dalaman, pengawasan, penangkapan, pendakwaan di makamah dan sebagainya.

“Prolintas bersetuju dengan platform Rasuah Busters dan kita juga mahu menjalin kerjasama dalam pelbagai aktiviti yang akan datang,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here