Home Koronavirus Hong Kong siasat kematian lelaki selepas terima vaksin Covid-19

Hong Kong siasat kematian lelaki selepas terima vaksin Covid-19

Hong Kong siasat kematian lelaki selepas terima vaksin Covid-19

HONG KONG – Pihak berkuasa Hong Kong melaporkan kematian seorang lelaki yang mempunyai penyakit kronik, dua hari selepas menerima vaksin Covid-19.

Menerusi laporan AP, pihak berkuasa menyatakan bahawa masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada vaksin itu menjadi punca kematian lelaki terbabit pada Selasa.

Kematian lelaki itu berlaku kurang seminggu setelah Hong Kong memulakan program vaksinasinya untuk kumpulan yang berisiko di bandar itu.

Lelaki berusia 63 tahun itu disuntik dengan vaksin Covid-19 pada 26 Februari di pusat vaksinasi yang ditetapkan kerajaan dan mengalami sesak nafas dua hari kemudian pada 28 Februari.

Lelaki itu kemudian dimasukkan ke hospital, namun meninggal dunia pada hari yang sama, menurut kenyataan dari pihak berkuasa kesihatan pada Selasa.

Walaupun kenyataan itu tidak menyebut vaksin mana yang diberikan kepada lelaki itu namun program vaksinasi di Hong Kong hanya menggunakan dos vaksin keluaran syarikat Biofarmaseutikal Sinovac dari China.

Pihak berkuasa kesihatan Hong Kong menyatakan kematian lelaki itu sedang disiasat.

“Pada masa ini, kaitan punca kematian disebabkan vaksinasi tidak dapat ditentukan lagi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan Hospital Queen Elizabeth di Hong Kong, pesakit itu mempunyai rekod penyakit kronik dan mengalami masalah pernafasan.

Lebih 40,000 orang di Hong Kong telah menerima vaksin sejak Jumaat, apabila gerakan vaksinasi dilancarkan dan lebih 254,000 orang telah berdaftar untuk mengambil vaksin setakat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here