Home Rasuah Busters Pemandu bas E-Mutiara berikrar bebas rasuah

Pemandu bas E-Mutiara berikrar bebas rasuah

0
Pemandu bas E-Mutiara berikrar bebas rasuah
Che Ibrahim (tengah) mengetuai lafaz IBR di Konsortium E-Mutiara Berhad di Panji, Kota Bharu.

KOTA BHARU – Seramai 50 pemandu bas ekspres kumpulan pertama membuktikan komitmen benci rasuah menerusi lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Panji, di sini, pada Isnin.

Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail, mereka termasuk keseluruhan 85 kakitangan Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) yang menandatangani IBR tersebut.

“E-Mutiara adalah syarikat perkhidmatan bas ekspres bumiputera pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif menandatangani IBR bersama SPRM sebagai tanda komitmen menjunjung tanggungjawab menjauhi jenayah rasuah serta salah guna kuasa.

“Inisiatif IBR yang dibuat sempena Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-65 ini adalah tekad warga E-Mutiara bersama-sama SPRM untuk memperkasakan dan martabat maruah kakitangan,” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia kali ke-65 dan Program IBR Peringkat Konsortium E-Mutiara Berhad di Panji, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Outreach, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Ab Muneim Ibrahim.

Che Ibrahim berkata, misi dan visi syarikat adalah memperkukuhkan keberkesanan pembangunan sumber manusia dalam industri perkhidmatan bas ekspres dengan penerapan nilai integriti dan tanggungjawab memerangi jenayah rasuah serta salah guna kuasa.

“Kami menolak keras perlakuan rasuah dalam kalangan pemandu bas dan sentiasa memastikan undang-undang dipatuhi bagi menutup ruang berlakunya rasuah misalnya ketika pemeriksaan pihak berkuasa di sekatan jalan raya.

“E-Mutiara juga bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah dengan mempamerkan poster antirasuah di semua rangkaian bas ekspres, bas rentas desa, bas pasukan Kelantan FC dan bas pasukan Selangor FC serta di premis-premis milik syarikat di seluruh negara,” katanya.

Pada majlis itu, 85 kakitangan terdiri daripada pihak pengurusan tertinggi, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan E-Mutiara melafazkan IBR yang diketuai Che Ibrahim serta disaksikan oleh Ab Muneim.

Dalam pada itu, Ab Muneim turut memberi ceramah bertajuk Rasuah Perosak Bangsa Merdeka yang menekankan isu-isu semasa berkaitan perolehan, penguatkuasaan dan rasuah di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here