KOTA BHARU – Dr Abdul Karim Zaidan Ab Aziz sebulat suara dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Rasuah Busters Negeri Kelantan berkuat kuasa serta-merta.
Beliau yang merupakan doktor veterinar dipilih oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Jewels di sini pada malam Khamis.
Dr Abdul Karim Zaidan dibantu oleh Che Rahimi Samat dari Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Kelantan (Ikram) sebagai timbalan, Haslina Jamaludin dari Pertubuhan Persaudaraan Ummah Darulsalam Malaysia (setiausaha), Saifulnizam Muhammad dari Angkatan Belia Islam Malaysia (penolong setiausaha) dan Pui Tiong Lam dari Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (ahli majlis tertinggi).
Dr Abdul Karim Zaidan berkata, pendidikan berkait dengan rasuah perlu dididik daripada bawah seawal peringkat kanak-kanak supaya golongan itu memandang jijik perlakuan tersebut.
“Rasuah banyak melibatkan soal kewangan. Jadi pendidikan kewangan perlu diberikan perhatian khususnya golongan belia, hal ini kerana jika pengurusan (kewangan) tidak betul ia boleh mendorong perlakuan tersebut.
“Sebab itulah perkara ini perlu diberikan perhatian selain kesedaran agama dan moral berkait dengan rasuah,” katanya.
Sementara itu, Tiong Lam berkata, dalam usaha melawan rasuah beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk menggerakkan pasukan tersebut.
Katanya, ia akan dilakukan dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat tertinggi dalam menarik masyarakat menolak rasuah yang boleh merosakkan bangsa dan negara.
Bagi Haslina pula, dia sudah bersiap sedia untuk melaksanakan tugas yang telah diberikan sebaik mungkin dalam melawan rasuah.
“Rasuah perlu dilawan kerana ia tidak baik untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.