Home Rasuah Busters Nilai semula kesedaran kendiri untuk perangi rasuah

Nilai semula kesedaran kendiri untuk perangi rasuah

0
Nilai semula kesedaran kendiri untuk perangi rasuah
Young Syefura

SHAH ALAM – Masyarakat secara amnya perlu menilai kesedaran kendiri bagi memerangi gejala rasuah yang boleh membinasakan diri sendiri dan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah agar lebih ramai para pendidik tampil ke hadapan menggemakan mesej memerangi rasuah.

Beliau bagaimanapun berkata, ia berbalik kepada diri individu untuk membanteras gejala tersebut dan menyedari ia berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Kita perlu sedar rasuah itu berlaku dan ia satu sikap yang buruk dan memalukan.

“Adakah kita sedar tentang kesan rasuah yang boleh membinasakan hubungan sesama insan, tapi juga kepada sebuah negara?

“Jadi ia berbalik kepada diri kita untuk mempunyai kesedaran sebagai manusia,” katanya selepas ditemui di Majlis Pelancaran Buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Young Syefura berkata, pemimpin politik perlu bersikap adil dan jujur bagi mengelakkan gejala rasuah terus membarah dalam negara.

Katanya, kerajaan perlu mengambil serius untuk membanteras isu rasuah yang dilihat boleh memburukkan imej negara di mata dunia.

“Kita sebagai pemimpin politik perlu sedar tanggungjawab kita untuk bersikap adil, amanah, jujur dan mengelakkan gejala rasuah ini kerana ia mampu merosakkan diri sendiri, keluarga, alam sekitar, negara dan segala-galanya.

“Jadi saya sangat berharap kerajaan kita memandang serius apa yang berlaku (di negara kita), kerana ia amat memalukan kita sebagai pemimpin dan rakyat apabila negara ini dilihat sebagai korup.

“Saya harap kita semua bukan setakat ahli politik, pekerja kerajaan dan rakyat biasa perlu sedar untuk mengambil tanggungjawab besar dan perlu mengelak serta melawan rasuah ini sebaik mungkin,” katanya.

Pada Khamis, Sultan Nazrin menegaskan rasuah boleh memusnahkan sesebuah negara bangsa sekiranya tidak ada kesungguhan untuk membanterasnya hingga perlakuan itu akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan menjadi budaya.

Titahnya, rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

Baginda dalam majlis sama turut berkenan melancarkan buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika, hasil penulisan tokoh pemikir Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di Kumpulan Karangkraf, di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here