Home Rasuah Busters CEO agensi kerajaan perlu segera isytihar harta

CEO agensi kerajaan perlu segera isytihar harta

0
CEO agensi kerajaan perlu segera isytihar harta
Pengisytiharan harta perlu dibuat secara berkala. – Gambar hiasan 123rf (Gambar kecil: Erwan)

SHAH ALAM – Usaha memperluaskan polisi pengisytiharan harta melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta ahli badan kehakiman merupakan langkah tepat yang perlu dilaksanakan dengan segera.

Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir berkata, keputusan kerajaan menetapkan kewajipan untuk CEO terlibat mengisytiharkan harta merupakan lanjutan daripada tindakan sebelum ini ke atas penjawat awam.

Katanya, polisi pengisytiharan harta bagi penjawat awam dan ahli Parlimen telah dilaksanakan sebelum ini dan ia langkah sangat wajar dalam memastikan semua petugas agensi kerajaan bersih serta telus.

Menurutnya, memperluaskan polisi pengisytiharan harta kepada pegawai-pegawai tinggi GLC, GLIC serta anggota badan kehakiman adalah suatu langkah yang sangat dialu-alukan dan perlu dilaksanakan segera.

Saya berpendapat, sesuatu polisi itu perlu ada perlaksanaan dan penguatkuasaan supaya ia menjadi lebih efektif.

“Selain CEO terbabit, ahli keluarga terdekat mereka juga perlu mengisytiharkan harta bagi memastikan pengisytiharan harta tersebut adalah benar-benar telus,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Rabu.

Mengulas lanjut, Erwan berkata, pengisytiharan harta perlu dibuat secara berkala, sama ada setiap beberapa tahun atau di awal kontrak diberikan, setelah tamat kontrak atau setelah ditukar ke jawatan lain.

Beliau berkata, bukan sahaja CEO, malah anggota pengurusan tertinggi dan pemegang jawatan-jawatan strategik seperti bahagian perolehan atau evaluasi tender perlu disertakan dalam proses pengisytiharan harta.

Jelasnya, sekiranya pengisytiharan harta dibuat secara telus, ia bukan sahaja boleh membantu mengurangkan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam malah berupaya mengelakkan fitnah.

“Sebagai contoh untuk kes bagaimana seseorang ahli perniagaan berjaya menceburi bidang politik dan diberikan jawatan penting.

“Beliau sudah sedia ada mempunyai harta dan kaya, bukan menggunakan jawatan untuk mencari kekayaan. Maka di sini, polisi pengisytiharan harta ini boleh membantu beliau daripada difitnah,” katanya.

Sementara itu katanya, keputusan melaksanakan pengisytiharan harta adalah keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet dan perkara sama perlu dipraktikkan oleh kumpulan pemimpin tertinggi negara terutama di peringkat parti politik.

Untuk itu jelas Erwan, selain polisi pengisytiharn harta dikenakan ke atas CEO agensi kerajaan atau GLC, contoh awalan perlu ditunjukkan sendiri oleh para menteri.

Katanya, seluruh anggota kabinet mungkin boleh membuat pengisytiharan harta semasa, berbanding apa yang telah dibuat sebelum ini.

Jelasnya, rakyat dapat menilai kekayaan mereka dan ahli-ahli keluarga terdekat sebelum dan setelah beberapa tahun memegang jawatan menteri.

“Harta yang diisytihar haruslah dapat diakses oleh pihak-pihak yang berkepentingan walaupun terhad bagi memastikan aspek ketelusan.

“Kita tidak mahu polisi pengisytiharan harta ini menjadi suatu perbuatan ‘show off’ apabila hanya disimpan tanpa dapat dilihat oleh sesiapa.

“Pada saya, perlaksanaan dan penguatkuasaan adalah perkara terpenting, maka barulah sesuatu polisi itu menjadi efektif terutama dalam mencegah amalan rasuah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here