Home Rasuah Busters Majlis Raja-Raja, Agong hanya boleh beri nasihat

Majlis Raja-Raja, Agong hanya boleh beri nasihat

0
Majlis Raja-Raja, Agong hanya boleh beri nasihat
Azmi
Azmi (kanan) ketika program Kompas Rasuah Busters yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu hanya boleh memberi nasihat dan pandangan terhadap pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan menjelaskan, pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang dicadangkan Seri Paduka Baginda hanya akan terlaksana sekiranya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju mewujudkan gabungan kerajaan tersebut.

“Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh memberi nasihat dan pandangan, tetapi kalau orang politik degil (tidak bersetuju cadangan), tidak boleh buat apa.

“Seri Paduka Baginda telah bertitah kepada ketua kedua-dua parti (PH dan PN) supaya bergabung, wujudkan kerajaan perpaduan, tetapi mereka tidak bersetuju dan kita faham kenapa (tidak bersetuju).

“Oleh itu, mungkin persidangan Raja-Raja Melayu esok (Khamis) tidak akan selesai juga (bentuk kerajaan). Cuma Majlis Raja-Raja boleh beri nasihat kerana keputusan akhir di tangan parti-parti politik ini,” katanya dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Drama politik belum berakhir’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Turut diundang menjadi panelis adalah penganalisis politik, Badrul Hisham Ismail, manakala Anim Ezati Rizki bertindak sebagai moderator.

**media[1997896]**

Dalam pada itu Azmi berpandangan, Barisan Nasional (BN) yang dilihat sebagai ‘king maker’ pada pembentukan kerajaan pasca PRU15 perlu menyatakan pendirian agar keadaan Parlimen tergantung tidak berterusan.

“Esok (Khamis) selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu bersidang, jika keputusan tidak dicapai juga oleh BN kerana mereka ‘king maker’, masih juga berbelah bagi, maka mungkin tidak akan selesai juga (pembentukan kerajaan).

“Namun saya percaya permasalahan ini akan dapat diselesaikan kerana mereka (BN) sudah berjumpa dengan kepimpinan PH dan PN.

“Namun jika kerajaan yang dibentuk selepas ini tidak kuat, rapuh, masih bercakaran (antara parti), kita akan jadi seperti negara Israel. Bukan mudah untuk berbincang (antara parti) tetapi pengorbanan perlu dilakukan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here